POLIS telah memohon maaf di atas tindakan seorang pegawainya yang mengambil beberapa keping gambar seorang gadis berusia 16 tahun yang ditahannya. Seorang pegawai polis di Dunedin, New Zealand, bertindak merakamkan gambar seorang pemandu dalam usaha untuk mengesahkan identitinya selepas dia ditahan kerana memandu laju di Kaikorai pada 24 Mac, komander daerah Selatan, Superintendan Paul Basham memberitahu Newshub. Ibu kepada Sadonia Folimatama, Irene Harris mengadu mengenai tindakan pegawai itu, termasuk mengambil gambar dua gambar tatu di dada anak perempuannya, menyebabkan polis melakukan siasatan. Basham berkata: "Kami telah menjalankan siasatan awal mengenai perkara ini. Kami telah meneliti tindakannya mengambil langkah seperti itu kerana dia tidak dapat melakukannya melalui sistem polis pada masa itu. "Bagaimanapun kami setuju bahawa pegawai itu dapat membuat penilaian lebih baik dalam situasi ini dan ini akan disertai dengan tindakan susulan terhadapnya." Folimatama berkata dia sedang memandu dari rumahnya di Brockville di Kaikorai Valley Rd, 24 Mac, apabila pegawai itu memberi isyarat kepadanya untuk berhenti kerana memandu melebihi had laju. Pegawai itu meminta lesennya dan dia mengaku masih belajar memandu dan tidak mempunyai lesen. Dia memberitahu ODT: "Dia tanya sama ada saya mempunyai sebarang pengenalan lain dan saya kata 'maaf, saya tak ada". Polis itu kemudian menyuruh gadis itu duduk di dalam kereta perondanya sementara mencari butiran di dalam sistem tetapi gagal. Bagaimanapun dia mendapati kereta itu milik pasangannya dan meminta butirannya. "Dia masih tidak menjumpai butiran saya, dia memegang telefonnya dan berkata 'adakah anda mempunyai tanda lahir pada kaki?'. "Saya fikir ia adalah soalan yang pelik, saya tanya 'apa kena mengena tanda lahir dalam sistem anda?'" Dia didakwa menjawab bahawa ia mungkin telah direkodkan pada masa lalu jika dia pernah ditahan atau melawat balai polis. Folimatama menuduh pegawai itu meminta untuk mengambil gambar tiga tatunya iaitu di lengan, leher dan dada. Katanya, polis berkenaan mengambil hanya satu gambar tatu di lengan dan lehernya, tetapi 'banyak gambar di dadanya'. Akhirnya dia dibebaskan dengan saman untuk kesalahan memandu tanpa pengawasan pada lesen pelajar. Dia berkata kejadian melibatkan pegawai berusia 60-an itu membuatnya berasa tidak selesa. -Newshub