DUA orang cedera selepas seorang pegawai polis menembak seorang lelaki berpakaian ala ninja di sebuah mahkamah di Iowa, United States pada Rabu. Seorang saksi berkata, sekitar pukul 10.30 pagi, 'ninja' tersebut cuba masuk ke Mahkamah Daerah Scott dengan bersenjatakan objek tumpul, kata polis. "Kami berjalan ke arah pintu dan terlihat lelaki ini datang dari arah sebuah jalan. "Saya bersumpah dia berpakaian seperti ninja, semuanya putih, dengan sebatang tongkat yang keluar dari arah belakangnya, kelihatan seperti sebilah pedang. "Tiba-tiba, dia berlari ke arah pintu di belakang kami dan menjerit: 'Mari G, mari keluar. Saya akan mendapatkan kamu'," kata seorang saksi, Ann St. Clair. Kata polis, dua anggota pantas bertindak dan situasi menjadi tidak terkawal sehingga memaksa tembakan dilepaskan. Suspek melarikan diri sebelum ditahan tidak lama selepas itu. Suspek dan seorang anggota polis dibawa ke hospital dan tidak mengalami kecederaan serius. Setakat ini, masih belum jelas tentang kesalahan yang akan dikaitkan dengan suspek. - KETV