suria

Terbang dari Manchester ke India, wanita ini terlepas guna pasport suami

Seorang wanita berusia 55 tahun terbang dari Manchester, Uk ke India menggunakan pasport milik orang lain. Foto AP

SEORANG wanita dapat meninggalkan United Kingdom (UK) dan menaiki penerbangan sejauh 6,760 kilometer dari Manchester ke India menggunakan pasport milik suaminya.

Geeta Modha tidak menyedarinya apabila dia secara tidak sengaja mengambil pasport suaminya, Dilip semasa mahu bergegas ke lapangan terbang untuk urusan perniagaan.

Wanita berusia 55 tahun itu menunjukkan pasport berkenaan semasa daftar masuk dan sekali lagi sebelum menaiki pesawat Emirates.

Dakwanya, dia juga dapat melalui pemeriksaan kastam tanpa sebarang masalah.

Geeta tidak menunjukkan pasport semasa transit di Dubai kerana mempunyai kad India bagi kewarganegaraan luar negara.

Memetik laporan Manchester Evening News, masalah tersebut hanya disedari di lapangan terbang di Delhi, India apabila mahu mengisi borang imigresen.

Geeta yang berasal dari Stockport, Greater Manchester di UK berkata: "Adalah menakutkan dan membimbangkan apabila orang tidak diperiksa dengan betul.

"Mereka kata tegas bagi keselamatan di lapangan terbang tetapi anda boleh melakukan perkara ini pada tahun 2018 sesuatu yang menggerunkan.

"Selepas daftar masuk, seorang kakitangan lapangan terbang meminta saya memindahkan barang dari bagasi kerana terlebih 2 kilogram, tetapi membiarkan saya pergi menggunakan pasport yang lain," dakwanya.

Pegawai di India memberi peluang kepada Geeta untuk terbang ke Dubai semula untuk menunggu pasport miliknya, yang diterbangkan oleh Emirates.

Bagaimanapun kata Geeta, keadaan yang berlaku kepadanya begitu membimbangkan kerana para penumpang boleh terbang ke luar negara tanpa pemeriksaan yang sah. 

Tambahnya: "Mereka hanya melihat nama keluarga saya, bukan pada nama pertama saya atau gambar. Jika saya dapat melalui siapa lagi yang boleh lepas? "

Anak lelaki Geeta, Sagar, 32, terpaksa membawa pasportnya ke lapangan terbang supaya Emirates boleh mendapatkannya untuk dihantar ke Dubai.

Lapangan terbang Manchester memberitahu, adalah tanggungjawab kakitangan untuk memastikan pasport diperiksa.

Jurucakap Emirates berkata: "Seperti semua syarikat penerbangan, kami bekerja rapat dengan pengendali lapangan terbang untuk memastikan semua peraturan berkaitan dengan pemeriksaan pasport diambil secara serius. Dalam contoh kes ini, piawaian tinggi kami tidak diikuti dan kami ingin memohon maaf kepada Modha.

"Pengendali lapangan terbang memastikan latihan berterusan diberikan kepada semua kakitangan supaya mereka sentiasa dikemas kini dengan semua peraturan dan prosedur keselamatan.

"Kami sedang menyiasat bagaimana insiden ini berlaku dan bekerja rapat dengan mereka untuk memastikan semua bahan latihan dikaji semula dengan baik dan latihan semula yang lengkap disediakan untuk kakitangan yang terlibat." - Mirror UK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain