ANAK sulung legenda bola sepak David Beckham sibuk melanjutkan pengajiannya di Sekolah Rekaan Parsons di New York. Bagaimanapun, Brooklyn Beckham tetap mengutamakan keluarganya apabila meluangkan masa meraikan sambutan ulang tahun bapanya ke-43 di London pada Rabu. Bekas pemain bola sepak itu tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya semasa Brooklyn muncul membuat kejutan. Brooklyn yang berusia 19 tahun masuk ke sebuah restoran dan membuat kejutan dengan memeluk David dari belakang. Bintang sukan itu ternyata terkejut dan cuba menahan air mata kegembiraannya semasa dipeluk anak sulungnya. "Apa kamu buat di sini?," soal David seakan tidak percaya melihat anaknya itu berada di depan mata. - Mail Online UK