CALGARY: Pihak polis berkata, mayat seorang lelaki yang ditemukan dalam dinding di sebuah bilik air wanita di pusat beli-belah di sini meninggal dunia secara kemalangan selepas mangsa memanjat ke bolong yang terletak di belakang sebuah tandas dan dia kemudiannya tersekat. "Motif mangsa memanjat dinding itu belum diketahui buat masa ini," kata polis pada Rabu. Mayatnya ditemukan pada pagi Isnin oleh seorang pekerja penyelenggaraan yang dipanggil untuk membaiki tandas di Pusat Beli-Belah The Core di Calgary, Kanada yang tidak boleh disiram (flush). Pasukan penyiasat berkata, lelaki yang dianggarkan berusia 20 tahun itu memasuki tandas wanita seorang diri pada petang Jumaat. Dipercayai, mangsa memanjat dinding di belakang tandas tersebut dan mengalihkan penutup bolong yang terletak di atas dinding itu. Dinding setinggi dua meter itu tidak 'bersentuhan' dengan siling dan digunakan untuk menyembunyikan utiliti. "Berdasarkan bukti di tempat kejadian, pegawai polis mempercayai bahawa mangsa memanjat bolong dan kemudian tersekat sehingga menyebabkan dia meninggal dunia," kata polis melalui kenyataan yang dikeluarkan. Polis telah mengenal pasti identiti mangsa namun ia tidak didedahkan kerana punca kematiannya bukan disebabkan oleh jenayah. - The Canadian Press