suria

iPhone X telefon pintar paling popular

Gambar dari AP.

SEOUL: Model iPhone X keluaran gergasi teknologi Apple Inc dari Amerika Syarikat dinobat sebagai telefon pintar paling popular di dunia pada suku pertama 2018 manakala Galaxy S9 keluaran Samsung Electronics gagal memasuki senarai lima teratas, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik data yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut data yang dikumpul oleh Strategy Analytics, iPhone X menyumbang 4.6 peratus daripada jumlah jualan telefon pintar di seluruh dunia bagi tempoh Januari hingga Mac, iaitu sebanyak 16 juta unit, diikuti model iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone 7.

Model Redmi 5A keluaran syarikat Xiaomi dari China pula menjadi satu-satunya telefon pintar menggunakan sistem pengoperasian Android yang memasuki senarai lima teratas, dengan jualannya mencecah 5.4 juta unit pada suku pertama 2018 atau 1.6 peratus daripada pasaran.

Model Galaxy S9 Plus keluaran Samsung Electronics berada di kedudukan keenam dengan jumlah jualan sebanyak 5.3 juta unit atau 1.5 peratus daripada pasaran.

"Model S9 Plus menampilkan reka bentuk skrin melengkung yang menarik serta kurang bezel, portfolio aplikasi perisian yang kaya dan pengedaran runcit terbaik di seluruh negara. Kami menjangkakan model S9 Plus menjadi telefon pintar Android terlaris secara global pada suku kedua 2018," kata Strategy Analytics.

"Bagi suku kedua, iPhone X dijangka kekal sebagai model telefon pintar paling popular di dunia secara keseluruhan, berdasarkan gabungan reka bentuk yang baik, kamera canggih, aplikasi yang ekstensif dan kehadiran runcit yang meluas bagi peranti ini," katanya. - Bernama

iPhone X

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain