suria

Disuruh kerja, gadis anak orang kaya meraung dalam TV

SEORANG gadis sanggup 'mengheret' ibunya dalam satu program TV untuk menghebahkan bahawa dia harus hidup seperti seorang petani, selepas elaun bulanannya dipotong dari AS$5,000 kepada hanya AS$1,000.

Nicolette, 15, selama ini diberikan segala yang diinginkannya, termasuk pengasuh, pelatih dan pemandu peribadi, sesi perbelanjaan dan koleksi beg yang akan membuatkan kebanyakan wanita cemburu.

Sebagai seorang remaja, dia akan membelanjakan antara AS$5,000 dan As$10,000 untuk pakaian berjenama, aksesori dan lain-lain barangan yang diimpikan gadis seusianya.

Bagaimanapun, ibunya, Nina memutuskan bahawa dia tidak sepatutnya terus membiarkan Nicolette mewah, jadi dia memotong elaun anak perempuannya itu kepada hanya AS$1,000 sebulan.

Nicolette yang menggambarkan dirinya sebagai 'anak manja' tidak dapat menerima kenyataan jadi dia telah mengadu nasib kepada Dr Phil yang terkenal dengan program bual bicaranya.

"Saya mahu ibu saya faham saya tak boleh hidup dengan AS$1,000 sebulan dan saya telah membesar dengan gaya hidup tertentu.

"Dia tidak boleh terus merampasnya," kata gadis tersebut.

"Jika seseorang merampas gaya hidupnya selama ini, dia pun tak akan menyukainya. Dan saya membesar sebegitu, saya hanya tahu amalkan gaya hidup mewah."

Ibunya mengaku dia mula memberikan kad kredit kepada Nicolette untuk berbelanja tanpa had sejak usianya sangat muda, tetapi mula memotong elaunnya setelah menyedari betapa anaknya itu dimanjakan.

Katanya dia selalu berasa bersalah kerana lebih fokus kepada pekerjaan dan tidak meluangkan masa yang cukup dengan anak perempuannya, jadi dia memberikan wang sebagai ganti rugi.

Bagaimanapun, remaja itu mendakwa elaun bulanan AS$ 1,000 itu langsung tidak cukup untuk perbelanjaan asasnya dan ibunya harus menetapkan anggaran yang sesuai.

"Saya rasa macam petani. Saya tak boleh hidup seperti ini lagi. Saya selalu tiada wang," kata Nicolette kepada Dr Phil.

"Jika anda tanya saya, saya fikir ibu saya patut beri sekurang-kurangnya AS$2,500 sebulan untuk menampung perbelanjaan asas saya."

Gadis itu menambah dia juga mahukan kereta Mercedes-Benz G-Wagen baharu berharga AS$231,000 untuk ulang tahunnya yang ke-16 kerana dia telah mengimpikan untuk memiliki selama dua tahun dan dia 'memerlukannya'.

Ibunya tidak bersetuju, sebaliknya menawarkannya Mercedes C Class baharu.

Nicolette berkata dia akan menerimanya, tetapi menjelaskan bahawa dia akan tidak memandu sebarang kereta yang boleh dianggap sebagai Uber X.

Selepas mendengar hujah Nicolette dan ibunya, Dr Phil berkata meningkatkan elaun bulanan gadis itu hanya akan membuat keadaan menjadi lebih teruk.

Dalam program bual bicara popular itu dia memberitahu Nina bahawa 'kemewahan melampau adalah satu bentuk penderaan kanak-kanak'.

Bagi Nicolette, dia perlu memahami kehidupan di dunia sebenar, menurut Dr Phil.

Dia bagaimanapun tidak bersetuju dengan menyatakan bahawa 'gaji minimum' tidak akan membolehkan dia memiliki kereta idaman dan dunia pekerjaan mempunyai 'terlalu banyak tugas'.

Malah, Nicolette meraung di set penggambaran apabila Dr Phil mencadangkan untuk dia bekerja.

anak manja, elaun

Artikel Lain