BEIJING: Perdana Menteri China Li Keqiang (gambar) mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia, menurut laporan Xinhua. Dalam perutusan tahniah itu, Li berkata Dr Mahathir telah banyak menyumbang terhadap pembangunan Malaysia dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, hubungan China-Malaysia serta kerjasama di Asia Timur. Li berkata China memberi perhatian khusus terhadap hubungannya dengan Malaysia. Kedua-dua negara adalah berjiran dengan menjalin persahabatan tradisional dan perkembangan hubungan dua hala kekal dalam momentum baik. Li berkata beliau bersedia berkerjasama dengan Dr Mahathir dalam menggalakkan perkongsian strategik komprehensif dua hala untuk lebih memanfaatkan kedua-dua negara dan rakyat mereka. - Bernama