BEIJING: Akibat permintaan si lelaki untuk putus cinta, sepasang kekasih berdepan tragedi 'menyakitkan' hingga memaksa campur tangan pihak polis. Menurut beberapa saksi, insiden itu berlaku apabila lelaki terbabit mahu memutuskan hubungan dengan wanita berusia 26 tahun itu dan kekasihnya itu telah meminta ciuman terakhir. Bagaimanapun, permintaan itu membawa padah apabila lelaki berusia 23 tahun dari timur China ini terpaksa diselamatkan oleh polis kerana wanita berkenaan telah menggigit lidahnya dan enggan melepaskannya. Dalam kejadian minggu lalu itu, pihak berkuasa di wilayah Anhui terpaksa menggunakan penyembur lada terhadap wanita tersebut. Rakaman yang diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan mangsa menangis dan bergelut mahu melepaskan diri. Selepas insiden 'ciuman terakhir' itu tamat, lelaki itu telah dibawa ke hospital. Sementara itu, ibu bapa wanita itu memberitahu keadaan anak mereka agak kurang stabil selepas dia menjadi mangsa penipuan pembelian atas talian selain pernah mengalami masalah kesihatan mental sebelum ini. - Daily Mail