suria

Bapa mertua tak sabar, anak jadi janda 15 minit selepas nikah

-Gambar hiasan

SEORANG pengantin lelaki memutuskan untuk menceraikan isteri yang baru dikahwininya dalam tempoh kurang dari 15 minit.

Semuanya gara-gara wang hantaran perkahwinan yang telah dipersetujuinya untuk dibayar kepada bapa pengantin perempuan.

Dalam satu perjanjian yang ditandatangani oleh pengantin lelaki dan bapa pengantin perempuan, lelaki yang baru berkahwin itu bersetuju untuk membayar 100,000 Dirham (RM108,760) yang dibayar dua kali.

Berdasarkan perjanjian, 50,000 Dirham (RM54,380) perlu dibayar ketika menandatangani kontrak perkahwinan di pejabat syariah dalam bangunan mahkamah di Dubai dan selebihnya selepas meninggalkan bangunan itu.

Pengantin lelaki dilaporkan membuat pembayaran awal seperti yang telah dipersetujui, tetapi sebaik sahaja dia dan pasangannya meninggalkan bangunan mahkamah, bapa mertuanya terus menuntut separuh lagi bayaran.

Lelaki itu meminta bapa mertuanya menunggu hanya lima minit, menyatakan baki wang itu ada di dalam kereta dan dia tidak perlu risau.

Bagaimanapun, bapa mertua bertegas meminta pengantin lelaki menyuruh salah seorang rakan atau saudara maranya pergi mengambil wang itu dengan segera.

Perbincangan ini didakwa berlaku di hadapan rakan-rakan dan keluarga pengantin,menyebabkan pengantin lelaki itu berasa terhina.

Dia kemudian kembali ke bangunan mahkamah dan menceraikan isterinya kurang dari 15 minit selepas menikahinya.

"Pengantin lelaki berasa dihina dan ditindas oleh bapa mertuanya," kata peguam mengendalikan kes tersebut kepada Gulf News.

"Dia memberitahu bapa mertuanya bahawa dia sudah tidak mahu memperisterikan anak perempuannya dan menceraikannya dalam masa kurang dari 15 minit selepas menandatangani kontrak perkahwinan itu."

cerai, wang hantaran

Artikel Lain