"KALI pertama saya melihat abang saya, saya hanya membisu. "Saya tak dapat berkata apa-apa, kami duduk di atas sofa di rumahnya dan masing-masing diam, kemudian saya menangis. "Ayat pertama yang dia katakan kepada saya adalah 'jangan menangis'. Kemudian dia pegang tangan saya, semua di situ turut menangis." Kiran Gustafsson berusia 33 tahun ketika bertemu saudara kembarnya buat kali pertama. Ia adalah satu adegan yang tidak dijangka dalam perjalanan kehidupannya yang penuh emosi. Gustafsson sebenarnya kembali ke India untuk mencari ibu kandungnya. Dibesarkan di Sweden oleh keluarga angkatnya, Gustafsson berkata dia mempunyai ibu bapa yang sangat penyayang yang memberikan segala-galanya yang dikehendakinya. Ibunya Maria Wernant adalah guru bersara dan bapanya ahli perniagaan Kjell-Ake sentiasa terbuka tentang hakikat bahawa dia telah diambil dari rumah anak yatim di Surat, sebuah bandar di negeri barat India, Gujarat, ketika berusia tiga tahun. Gustafsson berkata dia tidak dapat mengingati apa-apa tentang perkara itu. "Ibu bapa saya tak pernah buat saya rasa berbeza, mereka selalu beritahu saya untuk berbangga dengan diri sendiri, saya tidak dapat melupakan jasa mereka membesarkan saya," katanya kepada BBC. Namun, dia mengaku sering merasakan sesuatu yang 'hilang'. Dia cemburu melihat hubungan mesra antara dua adik beradiknya yang mempunyai pertalian darah. Semakin meningkat umurnya, perasaan ini semakin menebal dan dia akhirnya memberitahu keluarganya tentang apa yang dirasakan selama ini. Mereka sangat menyokong dan pada tahun 2000 seluruh keluarganya pergi ke Surat. Pada tahun 2005 dia sekali lagi ke sana, kali ini dengan rakan sekelasnya sebagai sebahagian daripada kursus mengenai sosiologi dan hak asasi manusia. Tetapi perjalanan kali ini meninggalkannya dengan lebih banyak persoalan. Apabila kembali ke Sweden, dia meneliti lebih lanjut mengenai asal usul dirinya dengan mencari lebih banyak maklumat tentang rumah anak yatim yang pernah didiaminya. Menjelang 2010, dia membuat keputusan untuk mencari ibu kandungnya tetapi tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. "Ibu bapa saya OK dengan keputusan saya, mereka beritahu saya mereka bangga dengan saya dan mereka menyayangi saya," katanya. Tetapi dia bertindak hanya selepas enam tahun kemudian. Pada tahun 2016, Gustafsson yang kini seorang kaunselor kerjaya, mengikuti ceramah oleh Arun Dohle, pengasas NGO yang Menentang Perdagangan Kanak-Kanak yang berpengkalan di Belanda. Dia juga berasal dari India dan dia juga dipelihara oleh keluarga angkat. Dalam ceramahnya, Dohle menceritakan cabaran dari segi perundangan untuk mendapatkan maklumat mengenai ibu kandungnya di India. Terinspirasi dengan cerita Dohle, dia mula berkomunikasi dengan lekaki itu yang kemudian memperkenalkannya dengan seorang pekerja perlindungan kanak-kanak Anjali Pawar yang bersetuju untuk membantu. Pawar bagaimanapun tidak dapat menemui identiti ibunya. Namanya adalah Sindhu Goswami dan dia bekerja sebagai pembantu rumah di Surat. Dia juga mendapat tahu bahawa Gustafsson hampir berusia dua tahun ketika ibunya meninggalkannya di rumah anak yatim dan dia sering melawatnya di sana. Dia juga telah memberikan alamat tempat kerjanya kepada pegawai-pegawai di situ. Berbekalkan maklumat ini, Gustafsson kembali ke India pada April, ditemani seorang kawan. Dia bertemu bekas majikan ibunya tetapi maklumat yang diberikan tidak cukup. Tetapi dia diberikan sekeping gambar ibunya. "Wajah kami hampir sama," katanya. Hari itu adalah hari yang penuh emosi untuk Gustafsson tetapi ada satu lagi kejutan paling besar untuk dirinya. Pawar berjaya menemui sijil kelahiran Gustafsson dan dia mempunyai saudara kembar. "Sukar dipercayai, segala persoalan bakal terjawab, saya terkejut," katanya. Dia memutuskan untuk mula mencari saudara kembarnya dan ia bukanlah satu pencarian yang sukar. Abang kembarnya telah dijaga oleh keluarga angkat di Surat dan kini seorang ahli perniagaan. Bagaimanapun, tidak mudah untuk bertemu dengannya kerana keluarganya tidak pernah memberitahu bahawa dia adalah anak angkat. Akhirnya, saudara kembar ini bertemu dalam suasana penuh emosi. "Kami kembali bersatu tetapi masih begitu banyak persoalan. Masih ada kesedihan," katanya. Abangnya, yang meminta agar tidak didedahkan identitinya memberitahu bahawa dia juga mempunyai perasaan yang sama, seolah-olah ada sesuatu yang hilang dalam hidupnya. "Apabila mengucapkan selamat tinggal pada hari itu, kami masih terpinga-pinga." Mereka kemudian sekali lagi bertemu di hotel Kiran pada keesokan harinya untuk bercakap lebih lanjut. "Dia beritahu saya dia takut kehilangan saya lagi dan dia tidak mahu melihat saya pergi ke lapangan terbang, jadi dia pulang lebih awal," katanya. "Apabila berpisah, dia memeluk saya dan hanya berlalu pergi bersama bapanya, ketika itu saya merasa begitu kosong, tetapi dia berjanji akan meraikan ulang tahun kelahiran kami di Sweden."