suria

Angka korban letusan Fuego cecah 99 orang

Gambar daripada EPA.

PASUKAN kecemasan meneruskan operasi mencari dan menyelamat di bandar-bandar dan kawasan kampung yang terjejas teruk akibat letusan gunung berapi Guatemala.

Namun, masa semakin suntuk untuk mencari mereka yang terselamat daripada bencana yang telah mengorbankan seramai 99 orang dan dipercayai 200 lagi masih hilang.

Ribuan penduduk mencari pelindungan dan kebanyakan mereka kehilangan keluarga tersayang selain tidak pasti dengan masa depan kerana tiada lagi tempat tinggal untuk dituju.

Pasukan bomba berkata, kebarangkalian untuk mencari mangsa yang terselamat agak mustahil selepas 72 jam letusan gunung berapi itu berlaku pada Ahad.

Abu tebal berwarna kelabu meliputi wilayah itu dan usaha menggali lumpur, batu-batuan yang mencecah hingga ke bumbung rumah menjadi semakin sukar akibat hujan.

"Tiada siapa yang dapat mencari mereka atau mengetahui berapa ramai yang terkambus di di sini.

"Mayat penduduk sudah hangus dan jika ada mesin yang digunakan (untuk mencari mangsa), mayat mereka akan terpisah," kata pemandu lori, Efrain Suarez ketika berada di lokasi kejadian di kampung San Miguel Los Lotes.

Para penyelamat mencucuk batang besi ke permukaan tanah sehingga kepulan asap terbentuk di udara sebagai tanda keadaan suhu yang amat panas masih berada di bawah permukaan itu.

Suhu dianggarkan mencecah 400 ke 700 darjah celsius. -

Guatemala

Artikel Sebelum

Hujan najis dari pesawat!

Artikel Lain