suria

Ada apa dalam beg tangan Kate?

KATE Middleton memang ibu yang hebat dan sentiasa bersedia!

Dengan tiga anak kecil di bawah umur empat tahun, Duchess of Cambridge tahu bagaimana untuk menjaga dan melayan anaknya untuk satu jangka masa yang panjang.

Sepanjang hujung minggu lalu, Kate dilihat menghadiri perlawanan polo amal di Gloucestershire bersama dua anaknya, Putera George dan Puteri Charlotte.

Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan mengapa anak-anaknya begitu tertarik dengan beg tote Victoria Beckham miliknya.

George, 4, dan Charlotte, 3, dilihat menjenguk-jenguk ke dalam beg tangan ibu mereka, yang juga dianggap sebagai tempat simpanan 'harta karun' mereka!

Di dalamnya terdapat banyak kejutan termasuklah mainan polisnya yang terdiri daripada gari plastik, senjata dan walkie-talkie.

Kate juga meletakkan makanan ringan dan botol air untuk anak-anaknya, pada hari yang sangat cerah di Kelab Polo Beaufort, di mana Putera William mengambil bahagian dalam perlawanan polo amal.

Kate kelihatan glamor seperti biasa di padang, walaupun hanya memakai pakaian musim panas berharga £39.99 jenama Zara, salah seorang pereka kegemarannya.

Baju kasual corak jalur itu menampakkan bentuk tubuhnya yang langsing selepas bersalin.

Beg itu pula dipercayai beg baharu Kate, yang sebelum ini memakai beg tangan Victoria Beckham elegan di program rasmi.

Tahun lepas dia dirakamkan membawa beg tote putih di Wimbledon.

Beg tangan itu diperbuat daripada kulit dengan tekstur putih terdiri daripada 90 peratus kulit kerbau dan 10 peratus kulit lembu mempunyai tali laras yang boleh dikeluarkan, lapisan kanvas dan poket di bahagian dalam. Beg serba guna itu dijual pada harga bermula £995.

Kate bukan satu-satunya kerabat diraja yang meminati Victoria Beckham.

Adik iparnya Meghan Markle juga pernah memakai baju oleh pereka fesyen British itu untuk lawatannya ke Belfast pada bulan Mac.

Mereka berdua juga nampaknya berkawan baik dengan pasangan David dan Victoria yang turut dijemput ke majlis perkahwinan masing-masing pada 2011 dan 2018.

Artikel Lain