SEBUAH tapak pelupusan berubah menjadi tempat penetasan kumpulan anak ayam. Dalam kejadian di bandar kecil Marneuli, di Georgia, keadaan ini berlaku selepas cuaca panas terik menyebabkan ratusan telur rosak yang dilupuskan oleh ladang ayam tempatan menetas. Satu video yang disiarkan oleh pengguna Facebook Sahid Bayramov pada Ahad menunjukkan tapak pelupusan yang dipenuhi dengan ratusan, mungkin juga ribuan ekor anak ayam berlari tidak tentu arah mencari ibu mereka. Juga dapat dilihat dalam video itu adalah tompokan telur yang dipercayai menetaskan anak-anak ayam tersebut. Video itu tular di media sosial, sebelum turut disiarkan oleh media nasional dan antarabangsa. Banyak persoalan timbul tentang bagaimana anak-anak ayam itu boleh berada di tapak pelupusan tersebut. Datuk Bandar Marneuli Timur Abazov menawarkan beberapa pandangan tentang apa yang telah berlaku. "Mereka di ladang ayam percaya bahawa telur itu telah rosak," kata Datuk bandar kepada wartawan. "Jadi ia dibuang di tapak pembuangan. Tetapi di situ ada batu dan matahari memanaskan telur-telur itu sehingga ia menetas." Jadi pada dasarnya, ladang itu membuang telur-telur yang dianggap rosak dan haba menyebabkan ia menetas. Apa yang terjadi kepada ratusan anak ayam itu pada akhirnya? "Banyak yang menetas. Kebanyakan anak ayam telah diselamatkan, walaupun ia mungkin dimakan tidak lama lagi," kata Datuk Bandar. "Ramai penduduk tempatan membawa anak ayam itu pulang."