suria

Lelaki dedah derita 34 tahun tak boleh sendawa

SEORANG lelaki berusia 34 tahun tidak mampu sendawa sejak bayi, satu keadaan yang jarang-jarang berlaku.

Dia bagaimanapun telah disembuhkan dengan suntikan Botox ke dalam tekaknya dan mendakwa hidupnya kini bertambah baik daripada yang pernah dibayangkan.

Kebanyakan kita memandang ringan tentang sendawa atau menganggapnya tidak sopan, tanpa mengambil kira hakikat tanpa sendawa, manusia akan menanggung penderitaan.

Itulah yang Neil Ribbens perlu hadapi sepanjang hidupnya.

Lelaki dari Timur London, UK, ini tidak dapat melepaskan gas dari perutnya, mengakibatkan dia mengalami kesakitan, sedu dan kembung perut yang teruk, terutama selepas makan banyak, minum bir dan minuman beralkohol lain.

Masalah aneh Ribbens berpunca daripada larynx (peti suara) di lehernya yang nampaknya sangat tegang sehingga ia menghalang gas daripada lalu di lehernya.

Tidak mampu sendawa sejak bayi, lelaki itu berjumpa ramai doktor sepanjang tahun, dengan harapan dapat mengubati keadaannya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan doktor tidak pernah mendengar masalah seperti ini dan ada yang tidak menganggapnya serius.

Ribbens masih ingat bagaimana seorang doktor ketawa kerana ketidakupayaannya untuk sendawa, sementara kebanyakan yang lain hanya mengesyorkan ubat yang tidak cekap.

Sebenarnya, tidak mampu sendawa apabila anda benar-benar perlu melakukannya sangat mempengaruhi kehidupan sosial.

Ribbens berkata dia mengelak berkunjung ke pub dengan kawan-kawannya sehingga berumur 25 tahun kerana dia tahu minum bir walau secara sederhana akan memberikan kesakitan serius.

Makan malam pada Krismas atau mana-mana acara makan besar juga tidak memberikan sebarang erti buat dirinya kerana ia akan menyebabkan perutnya kembung dua kali dari saiz normal dan dia akan mengalami kesakitan dan sedu yang teruk.

Apabila pembentukan gas di dalam perutnya sampai pada titik tertentu, ia akan mengeluarkan satu bunyi luar biasa dari bahagian bawah tekaknya yang mana ia digambarkan sebagai 'bunyi paling pelik yang pernah anda dengar dari tubuh manusia'.

Ini diikuti dengan rasa ketat di dada dan rasa asid di dalam mulutnya, sebelum perutnya mula kembung, kejang dan dalam kes-kes yang melampau, dia akan sedu yang melampau.

Ribbens berkata satu-satunya pilihan yang ada untuk melepaskan gas ialah dengan kentut, yang kadang-kadang membuatkan dia berasa malu.

Ribbens bernasib baik mimpi buruknya berakhir pada suatu hari apabila terjumpa seorang doktor yang berpusat di Manchester, Yakubu Karagama, yang bukan sahaja faham keadaannya, tetapi juga mempelopori rawatan asas Botox untuk kes ini.

Botox biasanya digunakan dalam pembedahan kosmetik, untuk mengurangkan kedutan, tetapi apabila disuntik ke dalam otot, ia juga menyebabkan pengurangan penguncupan otot yang tidak normal, membolehkan otot menjadi kurang kaku.

Ribbens telah menyuntiknya, dan walaupun prosedurnya bernilai £3,000 dia mendakwa ia sangat berbaloi.

"Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa baiknya diri saya," kata Ribbens.

"Tidak dapat sendawa nampak melucukan tetapi pada masa itu ia amat mengerikan." -oddity

sendawa, gas perut

Artikel Lain