SEEKOR kucing yang dilahirkan dengan penyakit Cerevellar Hypoplasa (CH) yang menyebabkan ia tidak mampu berjalan dengan sempurna menjadi popular kerana mempunyai dua hidung. Kucing yang diberi nama Dobby itu kelihatan seolah-olah mempunyai dua hidung kerana dilahirkan dengan belahan di kawasan alat pernafasannya itu. Dobby merupakan kucing yang dibuang dan ia telah diselamatkan oleh sebuah pusat perlindungan di California. Tidak lama selepas itu, dia diambil oleh keluarga baharu sebelum mereka membuka akaun Instagram untuknya. Dia kini mempunyai 11.8 ribu pengikut yang sentiasa teruja menanti foto-foto dan video terbaharu darinya. "Kami tidak tahu banyak perkara mengenai Doby. Kami membuat carian mengenai penyakit CH dan cuba menyediakan rumah yang sesuai dengan keadaannya. "Penyakit itu menyebabkan badannya tidak stabil. Namun, dia masih lagi normal seperti kucing-kucing lain," ujar Jeanne dari Friends for Life Rescue Network. Menurut Jeanne lagi, mereka sering bergurau dengan Dobby mengenai keunikan hidungnya. Tambahnya, walaupun mempunyai dua hidung, Dobby boleh bernafas seperti biasa.