suria

9 lagi menanti dalam gua

CHIANG RAI: Lapan remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak yang masih terperangkap dalam gua di utara Thailand sedang menunggu operasi menyelamat disambung semula pada Isnin, sehari selepas empat mangsa pertama berjaya dikeluarkan.

Misi menyelamat mangsa yang berusia antara 11 hingga 16 tahun itu digantung pada Ahad bagi menambah bekalan oksigen dan membuat persiapan baharu yang memakan masa sekurang-kurangnya 10 jam.

Dalam operasi itu, mangsa dipakaikan topeng oksigen untuk dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.

Operasi berkenaan melibatkan 13 penyelam asing dan lima anggota unit SEAL Tentera Laut elit Thailand.

Ketua misi, Narongsak Osottanakorn pada Ahad mengumumkan empat mangsa pertama berjaya dikeluarkan.

Tambahnya, misi itu dijangka mengambil masa sehingga tiga atau empat hari lagi untuk diselesaikan secara sepenuhnya.

Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Mongkol Boonpiem, 13. Dia kini ditempatkan di Hospital Chiang Rai Prachanukroh.

Menurut satu sumber, mangsa berada dalam keadaan baik namun doktor sedang memerhatikan perkembangan kesihatan mereka.

Kisah pasukan bola sepak "Wild Boars" itu yang terperangkap dalam gua akibat banjir menjadi tumpuan media-media dari seluruh dunia.

Hujan lebat sepanjang malam di kawasan Gua Tham Luang turut meningkatkan risiko yang digelar "perang dengan air dan masa" untuk menyelamatkan kumpulan kanak-kanak berkenaan.
SEAL, Tham Luang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain