BANGKOK: Dua belas remaja yang diselamatkan dari sebuah gua di Thailand ditenangkan dan dipindahkan menggunakan alat pengusung di sepanjang laluan sempit kompleks gua itu, kata seorang penyelamat selepas klip yang menunjukkan misi mustahil itu mendapat perhatian dunia. Video misi menyelamat yang berakhir pada Selasa itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa selepas empat budak lelaki terakhir dan jurulatih berusia 25 tahun keluar daripada Gua Tham Luang itu. Memetik laporan AFP, Operasi selama tiga hari tamat selepas ahli 'Wild Boars' tersebut dibebaskan dari gua berkenaan sejak terperangkap pada 23 Jun. Pihak berkuasa Thailand buntu memikirkan kaedah terbaik untuk mengeluarkan sekumpulan remaja yang hampir kesemuanya tidak pandai berenang dan tiada pengalaman menyelam. Misi tersebut seperti sukar dilaksanakan biarpun mendapat bantuan pakar selam kerana keadaan laluan di dalam gua itu yang sempit. Selepas spekulasi demi spekulasi dibuat, bekas penyelam Tentera Laut Thailand mendedahkan bahawa mangsa tidur dan separa sedar ketika mereka dipindahkan daripada seorang penyelam kepada penyelam lain di sepanjang laluan di dalam gua itu. Pasukan Tentera Laut Diraja Thailand yang terlibat dalam operasi menyelamat. - Royal Thai Navy "Beberapa mangsa tidur dan yang lain menggeletar, tapi mereka masih bernafas. "Tugas saya adalah untuk mengeluarkan mereka," kata Komander Chaiyananta Peeranarong. Tambahnya, mangsa dibalut di atas alat pengusung ketika dipindahkan dan dipantau pada jarak waktu berkala oleh para doktor yang berada di sepanjang beberapa kilometer laluan keluar tersebut. Rakaman dikeluarkan oleh Tentara Laut Diraja Thailand itu menunjukkan penyelam asing dan Thailand menggunakan kendi, tali dan paip getah untuk mengangkut alat pengusung yang membawa dua pemain bola sepak muda terbabit untuk diselamatkan Belum dapat dipastikan sama ada mangsa diberikan ubat penenang sebelum dikeluarkan. Sementara itu, penyelam yang bercakap kepada AFP berkata, mangsa dalam keadaan lemah tetapi masih bernafas ketika dia membantu menarik mereka. Memetik laporan BBC, menurut penyelam, mangsa diberikan ubat penenang untuk mengelakkan mereka mengalami rasa cemas melampau.