TULAR rakaman seorang wanita menangkap burung pipit dengan tangannya, memasukkan haiwan itu ke dalam beg plastik dan kemudian mengikatnya. Video tersebut, yang dirakam di Washington Square Park, Philadelphia oleh Chris Matthews dan teman wanitanya, telah mencetuskan kemarahan ramai. Dalam video itu anda dapat melihat wanita berkenaan yang sedang duduk bersama seorang lelaki menarik perhatian burung-burung dengan memberikan serbuk roti. Ketika burung-burung itu mendekati mereka untuk makan, wanita berkenaan mencekup salah seekor daripada haiwan itu dan memasukkannya ke dalam beg plastik. "Saya dan teman wanita saya berada di Washington Square Park, Philadelphia dan melihat dia menangkap burung. Kami mula merakam sebaik sahaja sedar apa yang berlaku. "Secara jujur, kami macam tak percaya apa yang kami tengok! Kami terkejut ada orang sanggup tangkap burung di siang hari, sebab itu kami mula merakam. "Nasib baik selepas kami berhenti rakam, pasangan itu membebaskan burung tersebut," kata Matthews. Bercakap tentang perasaan mereka berdua pada masa itu Matthews berkata: "Kami terkejut. Kami bukan sahaja prihatin terhadap burung-burung itu, tetapi kami juga memikirkan jika kanak-kanak di taman itu melihat kejadian ini. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang biasa dilihat mereka sebelum ini. "Kami masih baru di Philadelphia dan sebelum ini tak pernah melihat sesuatu seperti ini." Matthews memuat naik video itu ke Twitter dan menerima lebih hampir 1,000 ulang kicau dan hampir 1,000 tanda suka sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen. "Omg, dahsyat. Lain kali kalau anda tengok sesuatu seperti itu, sila dekati orang itu. Saya terkejut tiada siapa melakukannya terutamanya apabila ia berlaku di siang hari!" "Orang yang duduk di taman awam, memberi makan burung untuk menangkapnya dan memasukkannya ke dalam beg plastik adalah orang yang menjijikkan," tulis seorang lagi pengguna. Malah, ada yang menganggap pasangan itu sudah biasa melakukan perbuatan ini berdasarkan sikap tenang mereka menangkap burung. Bergantung kepada berapa banyak dan jenis burung yang ditangkap atau dibunuh, pasangan ini boleh didakwa di bawah akta undang-undang negara mereka. Bagaimanapun, menurut laporan pihak berkuasa telah memberi amaran kepada pasangan itu sebelum burung yang ditangkap dibebaskan. -Unilad