HANYA kerana menggoreng cucur di dalam kawasan Universiti Jawaharlal Nehru, seorang penuntut institusi pengajian tinggi itu didenda dan dinasihatkan supaya berpindah ke asrama lain. Manish Kumar Meena dikenakan dengan Rs 20,000 (RM1,180) dan diberi masa 10 hari untuk menukar asrama di universiti berkenaan. Sebelum itu, penuntut Pusat Bahasa India bersama empat rakannya telah memasak cucur sayur di pekarangan universiti itu sebagai langkah memprotes terhadap kenyataan Perdana Menteri Narendra Modi supaya penduduk negara itu menjual cucur. Bagaimanapun tindakannya membawa padah apabila ia mengundang kemarahan pihak universiti itu. "Perdana menteri memberitahu rakyat supaya berniaga cucur bagaikan satu sindiran dan sebab itu saya bertindak memprotes," katanya. Penuntut lelaki dari Rajasthan itu juga mengakui tidak mempunyai wang untuk membayar denda yang dikenakan terhadapnya. Malahan, dia semakin tertekan kerana bimbang gagal menyiapkan kertas akhir yang perlu diserahkan pada 21 Julai ini. Sehubungan itu Manish Kumar akan mendapatkan bantuan guaman berhubung denda yang dikenakan terhadapnya. Berdasarkan nota amaran yang diserahkan kepadanya, Manish Kumar dianggap telah menghalang laluan berhampiran perhentian bas Sabarmati pada 5 Februari lalu. Selepas empat hari, satu lagi nota diserahkan kepadanya kerana tindakannya memasak cucur sayur itu. "Saya terima kenyataan yang saya telah memasak cucur, tetapi pihak universiti tidak menyatakan dengan jelas lokasi saya memasak, mungkin kerana tidak mahu menyebabkan perdana menteri berkecil hati," katanya.-IndiaToday