CUKUP memilukan apabila melihat satu rakaman tular, menunjukkan budak perempuan bergelut menyiapkan kerja sekolahnya dalam hujan. Elaine Dolfo, 8, perlu menyiapkan kerja sekolahnya dalam hujan lebat walaupun hidup susah dan bergelar gelandangan. Tersentuh dengan kecekalan dan kesungguhannya, halaman GoFundMe telah ditubuhkan untuk mengutip sumbangan buat Elaine dan keluarganya. GoFundMe ditubuhkan oleh Marlene Garcia, seorang pelajar universiti di Tennessee, Amerika Syarikat, yang mewujudkan halaman itu selepas tersentuh melihat video Elaine susah-payah menyiapkan kerja sekolahnya. Garcia berkata ia 'benar-benar menyentuh hati saya' apabila Elaine dilihat berkali-kali membetulkan sehelai kot di atas kepalanya yang ditiup angin untuk melindungi dirinya dan bukunya daripada terkena hujan. Video itu dirakam di Manila, Filipina, oleh Rolando Villanueva yang kebetulan lalu di situ. Di negara itu, walaupun miskin dan terpaksa hidup merempat di jalanan, anak-anak tetap dihantar pergi ke sekolah. Dan, walaupun pendidikan yang baik bukan jaminan untuk kehidupan yang lebih baik, ia tidak menghalang Elaine untuk terus menyiapkan kerja sekolahnya. Video ini dirakam di luar blok pangsapuri di Manila pada pagi 6 Julai, jam 7 pagi. Ibu Elaine, Ellen, 40, dan adik perempuan, Alexandra, empat, sedang tidur berdekatan dengannya. Mereka tidak mampu menyewa kerana bapa Elaine, Jerry, 42, sakit dan tidak dapat bekerja. Dalam video itu dapat dilihat angin kencang dan hujan lebat terus meniup halaman bukunya dan dirinya sendiri basah. Elaine tidak berputusa asa, sebaliknya beberapa kali berganjak dan membetulkan kot yang diletakkan atas kepalanya dan terus membongkok sambil menulis. Dia memberitahu Villanueva bahawa dia mahu menjadi pelajar cemerlang di kelasnya dan mendapat pekerjaan yang baik untuk membantu keluarganya. Elaine, yang merupakan pelajar gred tiga di Elementary School Aurora Quezon di Manila, berkata: "Saya mahu siapkan kerja rumah dan dapat keputusan yang baik di sekolah. Barulah saya boleh dapat kerja yang baik dan menjaga diri sendiri dan keluarga saya." Bapanya bekerja sebagai pemandu tuk tuk tetapi tidak dapat bekerja kerana sakit. Tuan rumah menghalau mereka sekeluarga keluar dari rumah mereka beberapa hari sebelum video itu dirakamkan, kerana mereka tidak mampu membayar sewa.