BEIJING: Seorang lelaki yang ditikam dengan pisau sepanjang 20 sentimeter (cm) pada kepalanya nekad menunggang sendiri motosikalnya ke balai polis. Kejadian menggemparkan itu berlaku selepas mangsa dikenali sebagai Qin, 33, bertengkar dengan penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi motosikalnya di bandar Guangzhou pada Ahad lalu. Penumpang terbabit bertindak ganas selepas dia enggan membayar tambang seperti dipersetujui. "Pada mulanya, saya ingatkan terkena renjatan elektrik. Selepas saya jatuh ke tanah, saya meraba belakang kepala dan baru tersedar kena tikam. Saya menjerit meminta tolong beberapa kali, namun tiada yang datang membantu," ujarnya. Imbasan x-ray menunjukkan pisau yang tertusuk di kepala mangsa. Dia akhirnya terpaksa menunggang motosikal selama 20 minit dalam keadaan itu selepas gagal mendapatkan bantuan orang sekeliling. Pihak berkuasa di balai polis Zengcheng Dadun yang terkejut dengan keadaannya segera membawa mangsa ke hospital. Lelaki itu kemudiannya menjalani pembedahan yang mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan pisau di belakang kepalanya. Dia kini dilaporkan stabil dan semakin pulih. Menurut ketua doktor jabatan jagaan kritikal, Liu Chengyong, ia adalah kejadian pertama pesakit tiba di hospital dengan keadaan pisau tertusuk dalam kepala. "Dia bernasib baik kerana pisau itu tidak mengenai saluran darah utama. Jika ia memasuki kira-kira satu atau dua cm lagi, lelaki tersebut mungkin menemui ajal," katanya. - Daily Mail