BAGAIMANA anda mahu bersaing dengan gambar-gambar percutian orang lain di laman Instagram? Jawapannya mudah sahaja. Kalahkan mereka dengan bergambar bersama buaya di dalam air. Seorang jurugambar, Ken Kiefer tidak ragu-ragu apabila menjadikan idea itu sebagai realiti dengan melakukan sesi fotografi bersama haiwan pemangsa itu di Chincorro Banks, Mexico. "Saya teruja kerana akhirnya berjaya mencipta foto menakjubkan bersama haiwan pemangsa itu. "Menerusi foto itu, kami dapat menyaksikan kecantikan haiwan unik itu," ujar Ken. Menerusi koleksi foto dari sesi itu, model yang memakai baju kuning dan merah kelihatan tenang menggayakan aksi berhampiran seekor buaya. Malah, mereka bertindak berani apabila memandang tepat ke mata buaya bagi mendapatkan hasil gambar terbaik. "Sewaktu sesi penggambaran, beberapa penyelam turut berada di kawasan itu bagi memastikan keselamatan model. "Di kawasan itu sendiri ada lebih 500 buaya liar, namun hanya beberapa ekor sahaja yang muncul sewaktu kami berada di sana," ujar Ken lagi.