suria

Jumlah korban kebakaran hutan Greece meningkat

ATHENS: Jumlah korban akibat kebakaran hutan di wilayah timur dan barat, Attica di Greece meningkat kepada 76 orang, kata pegawai, lapor agensi berita Anadolu.

Pasukan bomba menyatakan, kematian terbaru itu membabitkan dua warga emas yang ditemukan rentung di rumah mereka di Mati, timur Athens.

Sementara itu, jurucakap Briged Bomba, Stavroula Mallire berkata, dua kebakaran mencederakan 164 orang, termasuk sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak manakala lebih 100 lagi masih hilang.

Bercakap kepada siaran televisyen tempatan SKAI, Datuk Bandar Evangelos Bournos, Rafina-Pikermi berkata angka kematian dikhuatiri mencecah 100 orang.

Menurut Jabatan Bomba, 47 kebakaran berlaku di negara itu dalam tempoh 24 jam lepas; 15 daripadanya berlaku  sekitar Athens.Wilayah pesisir di bahagian barat Attica, Kineta - kira-kira 54 kilometer di barat Athens - penduduk dipindahkan apabila kebakaran berlaku petang Isnin di hutan pergunungan Geraneia yang mengelilingi kawasan itu. Kebakaran masih belum dapat dikawal.

Beberapa kecederaan berlaku disebabkan mangsa terperangkap sama ada di dalam rumah, kenderaan atau lemas di laut ketika cuba melarikan diri.

Lebih 700 orang yang melarikan diri ke kawasan pantai telah dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan pengawal pantai dan bot persendirian.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Greece mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang disifatkan antara terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara itu.-Bernama

Greece, kebakaran

Artikel Lain