JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga maut apabila gempa berukuran 6.4 skala Richter menggegar destinasi pelancongan popular Lombok yang terletak kira-kira 100 kilometer di timur Pulau Bali di Indonesia, awal pagi Ahad. Gegaran itu turut memusnahkan banyak struktur bangunan. Pusat Pemerhati Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa pada kedalaman 7 kilometer (km) itu berlaku pada pukul 6.47 pagi (waktu tempatan). Insiden itu turut disusuli gempa susulan berukuran 5.4 skala Richter di kawasan sama di timur Indonesia, berpusat di bahagian utara pulau itu, 49.5 km di timur laut bandar Mataram. Ia bagaimanapun tidak mencetuskan gelombang di laut atau tsunami. Sementara itu, Agensi Geofizik dan Meteorologi Indonesia merekodkan 11 gempa susulan selepas gegaran pertama tersebut. Difahamkan, kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur ketika gempa pertama berlaku. Beberapa destinasi tarikan pelancong ditutup selepas pihak berkuasa memberi ancaman tanah runtuh mungkin berlaku. Taman Negara Gunung Rinjani, destinasi popular di kalangan pendaki, turut ditutup susulan gegaran kuat itu. Model Amerika Syarikat (AS) yang juga isteri kepada penyanyi John Legend, Christine Teigen sedang bercuti di Bali dan menulis posting di Twitternya: "Alamak. Gempa bumi di sini di Bali,".