SEORANG penjual tiket loteri menang hadiah jackpot apabila ketiga-tiga tiket yang dijualnya bernombor sama, tetapi tidak dibeli sesiapa, sekali gus membolehkannya menerima habuan wang tunai THB18 juta (kira-kira AS$ 540,000). Kini dia yang tinggal di wilayah Khon Kaen, Thailand bersama keluarganya sudah tentu berterima kasih kepada 'kaki loteri' di tempat mereka kerana tidak membeli tiket tersebut. Banyak halaman Facebook yang berpangkalan di Khon Kaen berkongsi posting yang dimuat naik peruncit bertuah berkenaan yang mengumumkan kemenangan besar mereka di media sosial, minggu lepas. "Jackpot itu berada di Phon, daerah kami sendiri," tulis peruncit yang hanya dikenal pasti sebagai Jarunwan. Selain menjual tiket loteri secara sambilan, Jarunwan memiliki sebuah kedai antik di luar kuil Ming Muang. Selepas jumlah kemenangan diumumkan, jiran Jarunwan memberitahu media tempatan Sanook bahawa mereka mendengar bunyi sorakan kuat di rumah penjual loteri itu. Jarunwan sempat memberitahu jiran yang sama bahawa mereka telah memenangi jackpot sebelum masuk ke dalam kereta dengan keluarganya dan memandu meninggalkan kediaman mereka. Turut dilaporkan mereka tidak mematikan lampu di rumahnya terlebih dahulu, mungkin kerana terlalu teruja. Jirannya itu percaya Jarunwan terus menuju ke Pejabat Loteri Kerajaan di Bangkok untuk menuntut hadiah mereka. Bagaimanapun, harus ditegaskan bahawa amalan judi, termasuklah membeli loteri adalah satu perbuatan yang dilarang kepada penganut beragama Islam.