suria

iPhone X gagal imbas wajah tuan, lengan pula dicubit, pelanggan tumbuk 'salesgirl'

SEORANG lelaki berusia 23 tahun dirakam menumbuk muka seorang kerani jualan wanita di sebuah outlet peruncit Apple.

Kejadian berlaku selepas kerani jualan tersebut enggan menggantikan iPhone X milik lelaki itu yang didakwa tidak dapat mengesan wajahnya dengan betul.

Dalam rakaman CCTV yang dimuatnaik ke Facebook malam Ahad, lelaki yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Arm itu dapat dilihat berhujah dengan seorang kerani jualan di hadapan bilik simpanan di Studio 7, pusat beli-belah Central Pinklao, Bangkok, sebelum menghalangnya di pintu dan menumbuknya.

Arm mendakwa sehari sebelum itu dia telah membeli iPhone X dari kedai yang sama dan mendapati peranti baharu itu tidak dapat mengimbas wajahnya, lapor Thairath.

Dia datang semula pada Ahad, untuk peranti itu diganti dengan yang baharu atau meminta wangnya dikembalikan.

Apabila kerani Studio 7 memeriksa telefon yang dibeli, mereka tidak dapat mengesan sebarang masalah dengan peranti itu, termasuk ciri pengimbasan yang dilaporkan berfungsi dengan baik.

Pekerja itu memberitahu Arm bahawa mengikut terma dan syarat kedai, iPhone yang berfungsi sepenuhnya tidak boleh diganti atau wang dikembalikan.

Studio 7 enggan memberi komen berhubung kes ini.

Arm yang marah telah mencetuskan kekecohan sebelum menuju ke pintu bilik simpanan, kemungkinan besar mahu mengambil sendiri peranti lain.

Pekerja perempuan yang cuba menghalangnya membuatkan dia naik angin.

Lebih teruk lagi, lelaki tersebut enggan meninggalkan premis dengan baik.

Satu lagi video selepas kejadian tumbuk juga tular, menunjukkan dia berjalan di sekitar kedai sambil dengan kuat mengumumkan nasib malangnya.

"Mereka tak mahu tukar iPhone X untuk saya! Saya membelinya semalam! Jangan beli iPhone X!," dia berteriak kepada orang ramai.

Di dalam video itu, apabila pekerja berkumpul untuk bertanya mengapa dia menumbuk staf wanita berkenaan, lelaki itu meminta mereka melaporkannya kepada polis.

"Dia cubit saya dulu, dia cubit lengan saya," katanya kepada orang ramai.

"Datanglah dekat saya. Saya tak takut. Saya tak pernah takut," katanya.

Dalam tempoh 12 jam selepas disiarkan, lebih dari 1.4 juta pengguna telah melihat video itu, meninggalkan beratus-ratus komen tidak setuju.

"Ciri ini tidak rosak. Apple cipta telefon untuk mengimbas wajah manusia, bukan hantu," tulis seorang netizen.

iPhone X, pengimbas, tumbuk

Artikel Lain