DUA wanita yang dirogol sekurang-kurangnya 1,900 kali akhirnya menarik nafas lega apabila dua lelaki durjana yang melakukan perbuatan itu dihadapkan ke muka pengadilan pada hari yang sama. Brian McTaggart, 54 dan John Dickson, 38, masing-masing menerima hukuman atas perbuatan mereka terhadap dua wanita itu dalam kes berasingan. McTaggart dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan keganasan dan rogol selama 25 tahun ke atas mangsa sebanyak lebih 900 kali. Dickson pula dipenjara 14 tahun kerana merogol seorang lagi mangsa lebih 1,000 kali, termasuk menyerang dengan seekor ular sepanjang kira-kira tiga meter. Dua lelaki tersebut dibawa ke muka pengadilan setelah mangsa membuat pendedahan mengenai perbuatan mereka selama ini. Selain dua wanita itu, ramai mangsa lain turut tampil mendedahkan perilaku dua lelaki tersebut. Seorang wanita berusia 53 tahun memberitahu mahkamah dia dirogol McTaggart hampir setiap hari sepanjang enam tahun. Ia termasuklah serangan ke atasnya yang baru melahirkan anak pada suatu masa dahulu. Seorang lagi mangsa rogol McTaggart mendakwa lelaki itu akan memohon maaf dan membeli bunga selepas dia diserang. Malah, seorang lagi mangsa mendakwa pernah dirogol ketika sedang tidur. "Sewaktu saya tersedar, McTaggart cakap saya milik dia dan boleh melakukan apa sahaja," dedah wanita itu. Menerusi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Glasgow, McTaggart mengakui banyak melakukan kesalahan namun dia menafikan tuduhan rogol tersebut. Malah, dia mendakwa mangsa-mangsanya sebagai wanita sihir yang sengaja menuduhnya melakukan perbuatan tersebut. Sama seperti McTaggart, Dickson juga turut dikaitkan dengan kes lain. Dickson dikatakan pernah merogol seorang lagi wanita termasuklah melakukan perbuatan tersebut di dalam kereta api dalam perjalanan ke Edinburgh. Malah, wanita tersebut mendakwa dipukul dari kepala hingga kaki dalam tempoh sejam oleh Dickson. - Metro.UK.