suria

Kebakaran muzium 200 tahun musnahkan fosil 12,000 tahun

RIO DE JANEIRO: Kebakaran besar Muzium Nasional Brazil di bandar raya ini dipercayai telah memusnahkan koleksi lebih 200 barangan termasuk penemuan arkeologi dan artifak bersejarah.

Keseluruhannya muzium itu menempatkan lebih 20 juta koleksi berharga.

Bangunan itu menempatkan beberapa koleksi mercu tanda termasuk artifak Mesir dan fosil manusia tertua yang ditemui di Brazil berusia 12,000 tahun.

Luzia adalah wanita tertua yang fosilnya ditemui pengkaji di negara itu, malahan wajahnya telah dihasilkan menggunakan teknologi digital berasaskan tengkoraknya yang ditemui pada 1970.

"Luzia adalah koleksi yang tidak ternilai," kata pengarah muzium berkenaan, Paulo Knauss kepada AFP.

Berdasarkan tengkoraknya, penyelidik menghasilkan wajah Luzia menggunakan imej digital.


Sementara itu, Presiden Michel Temer berkata, kemusnahan bangunan berusia 200 tahun itu yang pernah menjadi istana maharaja, merupakan ‘kehilangan tidak ternilai’ buat Brazil.

“Hasil kerja selama 200 tahun, penyelidikan dan ilmu pengetahuan hilang begitu sahaja,” katanya.

Setakat ini, belum ada laporan mengenai punca kebakaran, angka korban atau jumlah kerosakan keseluruhannya.

Siaran langsung televisyen menunjukkan kebakaran itu yang bermula selepas waktu lawatan pada pukul 5 petang (waktu tempatan), marak tanpa dapat dikawal sehingga tengah malam.

Menyingkap sejarahnya, muzium berkenaan mempunyai ikatan dengan Universiti Persekutuan Rio de Janeiro dan Kementerian Pendidikan, telah diasaskan pada 1818. – Reuters

Brazil, Luzia

Artikel Sebelum

Artikel Lain