SI cilik berusia empat tahun ini memang comel, seperti mahu digomol dan dicubit-cubit pipinya. Pada Julai lalu, ketika bermain budak lelaki ini sering kali terjatuh, sama ada berjalan atau ketika mengayuh basikal. Atticus Feduchin-Pate bagaikan hilang keseimbangan diri hingga menyebabkan benjol di kepalanya. Susulan itu, ibu bapanya membawa si kecil yang murah dengan senyuman itu untuk menjalani pemeriksaan doktor. Namun, begitu mengejutkan apabila kata doktor dia hanya ada sembilan bulan untuk hidup. Bapanya, Blaize dari Whitchurch, Hampshire berkata, seminggu sebelum didiagnosis, mereka mendapati Atticus begitu cemerkap. "Memang tidak disangka, perlakuannya itu sebenarnya berpunca daripada tumor yang boleh membawa maut. "Tambah menyedihkan apabila ketumbuhan itu tidak dapat dibuang menerusi pembedahan kerana kedudukannya pada otak Atticus begitu berbahaya," kata bapa berusia 42 tahun ini. Kini bersama ibu Atticus, Emily, 37, pasangan ibu bapa ini cuba menyebarkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan keadaan anak-anak. "Ketika ini, kami memberi apa sahaja yang terbaik untuk Atticus meneruskan kehidupannya , selain memupuk kesedaran kepada umum," katanya Blaize. Atticus kini mengambil ubat yang masih dalam kajian sebagai sumbangannya untuk pesakit lain pada masa depan. "Kami tahun ia mungkin tidak dapat menyelamatkannya, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu pihak perubatan memantau kesihatannya untuk manfaat pesakit lain," katanya. Anak sulung daripada dua beradik ini juga diberi ruang untuk meluangkan masa bersama adik perempuannya, Hemploe yang baru berusia setahun.-Metro.uk.co