suria

Sewa bilik dan bil internet percuma jika sanggup tidur dengan tuan rumah

Paparan skrin perbualan dengan dua pemilik rumah itu yang dibongkarkan kepada umum. FOTO: BBC/InsideOutWest

SANGGUPKAH anda mengorbankan maruah diri hanya untuk tinggal di rumah sewa secara percuma?

Begitulah yang berlaku di Bristol apabila dua pemilik rumah menawarkan tempat tinggal percuma dilengkapi perabot dan wi-fi jika sang penyewa sanggup ditiduri mereka.

Hasrat durjana dua lelaki itu didedahkan oleh seorang wartawan BBC yang melakukan penyamaran bagi melihat sejauh mana dakwaan mengenai tawaran itu dan ia ternyata benar.

Dipaparkan menerusi BBC Inside Out West, wartawan itu bekerjasama dengan Safe Lives untuk membongkar taktik kotor pemilik rumah sewa berkenaan.

Salah seorang daripada pemilik rumah sewa yang dikenali sebagai Mike memberitahu wartawan itu bahawa dia boleh mendapat apartmen dengan dua bilik tidur yang lengkap tanpa sebarang bayaran jika bersedia untuk memenuhi 'hasrat' yang dimahukannya.

"Bilik, sewa, bill, semua akan dibayar. Malah, saya akan beri elaun setiap minggu. Jadi kamu akan rasa seperti dijaga.

"Tapi syaratnya, kamu kena tidur dengan saya sekali seminggu," ujarnya yang tidak menyedari sedang berurusan dengan wartawan yang melakukan penyamaran.

Namun, lain pula ceritanya selepas dia dibongkarkan menerusi program itu.

Ujar Mike, dia hanya berlakon sebagai pemilik rumah dan ia sebahagian daripada kajiannya mengenai eksploitasi wanita di United Kingdom.

Sebahagian iklan yang menawarkan sewa rumah percuma jika si penyewa sanggup ditiduri pemilik rumah.

Seorang lagi pemilik rumah yang dikenali sebagai Tom turut menawarkan kediaman percuma jika wartawan itu sanggup berpindah ke apartmen miliknya.

"Saya bagi seminggu dua jika kamu tak bersedia, tapi selepas itu memang kena tidur dengan saya," ujar lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu.

Setelah dimaklumkan bahawa dia sedang dirakam untuk program BBC, Tom mula mengelak untuk memberi sebarang respon.

Penyamaran wartawan itu juga dilakukan susulan lambakan iklan sewa rumah jijik yang dimuat naik di Internet.

"Hi saya lelaki usia 35 tahun dan mencari penyewa rumah perempuan. Anda boleh tinggal secara percuma, saaya fikir mungkin anda boleh 'menyerah diri' kepada saya dalam dua atau tiga kali seminggu.

"Sila hantar gambar dan terangkan sedikit mengenai diri anda," tulis iklan jijik itu.- Metro.UK

sewa rumah, seks, bristol, BBC

Artikel Lain