NEW YORK: Aktres ‘Sex and the City’ yang bergelar aktivis pendidikan, Cynthia Nixon gagal memenuhi impian menjadi Gabenor New York apabila tewas dalam pemilihan utama Parti Demokrat. Nixon yang berusia 52 tahun dikalahkan penyandang dua penggal, Andrew Cuomo. Cuomo, 60, memegang jawatan sejak 2011 menewaskan Nixon dengan 66 peratus berbanding 34 peratus, demikan ramalan media Amerika Syarikat (AS) sebaik undian ditutup. Keputusan itu meletakkan Cuomo memenangi penggal ketiga sebagai ketua eksekutif negeri keempat paling padat di AS. Nixon, ibu tiga anak menyertai pertandingan itu Mac lalu, dalam cubaan untuk menjadi wanita dan gabenor gay pertama, menuntut perubahan dan menyokong isu panas berhaluan kiri. Penyokong Nixon, Jill Vexler menganggap Cuomo tidak layak kerana tiada strategi untuk mendapatkan dana. "Dia menang kerana mendapat undi simpati," katanya. Bagi Jack Buchanan, 87 yang mengundi Cuomo, beliau beranggapan calon pilihannya lebih berpengalaman dan paling sesuai. "Beliau seorang lelaki berpengalaman manakala pelakon itu ternyata tidak berpengalaman. Kita sudah ada lelaki tidak berpengalaman dalam Rumah Putih, jadi kenapa letakkan seorang lagi di Albany?” komennya sambil merujuk Presiden Donald Trump yang tidak popular di bandar itu. Nixon berharap menjadi pendahulu sebagai calon utama pemilihan Demokrat untuk kerusi Kongres di kawasan seperti bandar raya ini dan Boston. -AFP