SEORANG lelaki tidak boleh bercakap selepas isterinya yang sedang hamil lapan bulan menggigit lidahnya ketika dia cuba mencium wanita itu semasa mereka bergaduh. Lelaki berusia 22 tahun dari Delhi, India, itu terpaksa dikejarkan ke hospital dan dirawat kerana mengalami pendarahan yang banyak selepas lidahnya digigit oleh isteri. Wanita itu kemudiannya ditangkap dan dia memberitahu polis bahawa dia tidak berpuas hati dengan kehidupan sebagai pasangan suami isteri serta penampilan suaminya yang tidak menarik sehingga dia tidak dapat mengawal kemarahannya. "Mereka asyik bergaduh sejak satu tahun yang lalu," kata ibu mangsa kepada wartawan. "Dia pernah memanggilnya anjing, menamparnya dan memukulnya dengan kasut." Kejadian luar biasa itu berlaku pada Sabtu di rumah pasangan tersebut. Kedua-dua mereka telah berkahwin selama dua tahun, yang mana sepanjang tempoh itu mereka kerap bertengkar. Pada petang Sabtu, selepas lelaki itu yang dikenal pasti sebagai Karan pulang ke rumah, mereka bergaduh lagi. Lelaki itu yang sudah bosan dengan pergaduhan cuba menenangkan isterinya dengan memberikan ciuman. Isterinya kelihatan bersedia untuk dicium, tetapi kemudian tiba-tiba menggigit lidah suaminya itu dan menyebabkan sebahagian daripadanya terkoyak. Tidak jelas siapa yang menghubungi polis, kerana lelaki itu masih tidak dapat bercakap disebabkan lidahnya cedera. Malah, dia terpaksa memberikan kenyataan bertulis kepada polis. Dia tetap berada di bawah pemerhatian perubatan di Hospital Safdarjung dan menjalani pembedahan rekonstruktif untuk membolehkannya bercakap semula. Isterinya masih berada dalam tahanan polis dan dituduh 'menyebabkan kecederaan yang teruk dengan cara atau senjata berbahaya". -oddity