SEORANG lelaki yang dituduh mencabul seorang pekerja wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan pengusiran. Pemilik kedai di Qusais, Dubai, memanggil wanita tersebut datang ke keretanya yang diletakkan di luar kedai, lapor Emarat Al Youm. Wanita itu mengandaikan bahawa majikannya itu mahu bercakap tentang hal kerja atau meminta bantuannya untuk memindahkan barang-barang ke stor seperti yang biasa dilakukannya sebelum ini. Tetapi kali ini, lelaki itu meminta dia duduk di dalam kereta untuk bercakap sesuatu dengannya. Mereka kemudian membincangkan beberapa perkara berkaitan kerja. Sebelum meninggalkan kereta, wanita itu meminta agar dia diberikan cuti sehari pada keesokan harinya untuk menyambut ulang tahun kelahiran anaknya. Bagaimanapun pemilik kedai itu telah membuatkan dia terkejut apabila bertindak mengunci pintu kereta dan memintanya memberikan 'sesuatu' sebagai balasan kepada cuti yang diberi. Dia kemudian mula menyentuh wanita itu. Apabila tindakannya dihalang, dia menarik rambut dan terus mencabulnya. Jeritan wanita itu yang sangat kuat menyebabkan lelaki itu berhenti menarik pakaiannya, tetapi dia memberi amaran untuk memecatnya jika wanita itu memberitahu apa yang berlaku kepada orang lain. Selepas meninggalkan kereta, wanita itu memberitahu rakan sebilik dan kakaknya mengenai kejadian itu. Dia pergi ke polis dan membuat laporan. -KhaleejTimes