suria

Isteri mangsa nahas Lion Air nekad bawa pulang jenazah suami yang belum ditemui

Kolonel Laut (P) Salim Dansatrol memeriksa beg berisi cebisan mayat yang dipercayai milik mangsa nahas pesawat Lion Air JT610.

ISTERI kepada Ahmad Endang Rokhmana datang ke Pelabuhan Tanjung Priok, utara Jakarta dari Tasikmalaya, Jawa Barat untuk mencari barang milik suaminya.

Pelabuhan Tanjung Priok merupakan lokasi pengumpulan serpihan pesawat dan mayat mangsa nahas oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) sebelum dibawa ke Hospital Polis Kramatjati di Jakarta Timur.

"Saya mencari kad ID suami saya. Saya mahu melihat bukti yang ditemui Basarnas," kata Siti Nuraini sebagaimana dipetik oleh kompas.com.

Siti Nuraini berkata dia datang bersama anak dan dua iparnya dari Tasikmalaya ke Jakarta pada Isnin.

Wanita tersebut turut pergi ke Hospital Polis Kramatjati untuk memberi maklumat bagi mengenal pasti suaminya.

Siti Nuraini ketika ditemubual pemberita.

"Saya mahu beberapa khabar tertentu secepat mungkin. Apa pun yang berlaku, saya mahu membawa suami (jenazah) saya pulang ke Tasikmalaya," katanya.

Endang merupakan kakitangan kerajaan di Kementerian Kewangan yang berpangkalan di Pangkalpinang, Kepulauan Bangka Belitung.

Dia akan pulang ke rumah setiap dua minggu sekali untuk bersama dengan keluarganya.

Siti berkata kali terakhir dia berkomunikasi dengan suaminya pada pagi Isnin lalu sebaik sahaja dia memberitahu sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Ketua Pusat Perubatan dan Kesihatan Polis Nasional, Briged Jeneral Arthur Tampi berkata, pasukan pengecaman mangsa bencana (DVI) telah mengumpul 147 sampel DNA dan 185 data antemortem dari keluarga mangsa pada malam Selasa.

"Kami berharap keluarga dapat bersabar pada masa ini kerana sukar bagi kami untuk mengenal pasti bahagian tubuh berbanding mayat yang sempurna," katanya.

Lion Air, JT610

Artikel Lain