SEORANG kelasi warga British mengakui membunuh isterinya yang berasal dari Colombia selepas bot yang dinaiki mereka tenggelam semasa menikmati bulan madu. Lewis Bennett, 41, mengaku bersalah terhadap tuduhan bunuh tanpa sengaja isterinya Isabella Hellman, 41, namun pada awalnya Bennett menafikan melakukan perbuatan tersebut. Mayat Hellman tidak pernah dijumpai walaupun pencarian besar-besaran dilakukan di perairan Caribbean. Sebuah mahkamah di Florida mendengar perbicaraan bahawa Bennett tidak berusaha untuk mencari isterinya, sebaliknya memuat masuk barang ke dalam rakit penyelamat, lapor Palm Beach Post. Hakim Federico A. Moreno berkata, tuduhan dikenakan atas dakwaan 'kecuaian kasar yang melampau dan tidak menghiraukan nyawa seorang manusia'. Hellman merupakan seorang ejen hartanah. Jurutera perlombongan Bennett yang tinggal bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun di Delray Beach, Florida mengemukakan rayuan agar tidak dihadapkan dengan kesalahan membunuh darjah kedua. Bennett mungkin berdepan hukuman penjara lapan tahun ketika dia dijatuhkan hukuman pada 10 Januari lalu. Pihak pendakwaraya mendakwa Bennett membunuh Isabella, kemudian menenggelamkan bot mereka untuk mewarisi ladang milik wanita itu. Mahkamah mendedahkan mereka pernah bergaduh kerana masalah kewangan dan cara membesar anak perempuan bernama Emelia. Teks dari Isabella mendedahkan: "Awak membuat saya menjerit, berteriak dan menyumpah macam orang gila." Bennett didakwa sengaja menyebabkan bot dinaiki mereka tenggelam. - Foto USCGSoutheast Ejen hartanah Isabella hilang pada Mei tahun lepas. Bennett mendakwa dia berada di bahagian kemudi kapal ketika sedang tidur, tetapi terjaga apabila mendapati bot dinaiki mereka rosak teruk dan isterinya menghilang tanpa jejak. Bennett memberitahu Pengawal Pantai Amerika Syarikat bahawa Hellmann berada di atas dek dan memakai jaket keselamatan ketika dia tidur pada pukul 8 malam 14 Mei. Dia kemudiannya membuat panggilan kecemasan lima jam kemudian dan bersendirian ketika seorang kru helikopter menariknya dari laut, sekitar 112 kilometer di selatan Florida, pada awal pagi 15 Mei. Pendakwaraya pada mulanya mendakwa dia membunuh Hellman dan sengaja merosakkan bot itu untuk menamatkan perselisihan dalam perkahwinan mereka, sekali gus mewarisi kediaman mereka di Pantai Delray dan wang dalam akaun bank mangsa. - Mirror UK