RAMAI yang terinspirasi selepas menonton sebuah video menunjukkan seekor anak beruang bergelut memanjat sebuah gunung bersalji untuk mengikut ibunya. Video tular itu menunjukkan ibu kepada anak beruang comel itu dengan yakin dan mudah mendaki gunung diselaputi salji tebal di rantau Magadan, Rusia. Di belakangnya kelihatan seekor beruang kecil yang sering tergelincir. Walaupun terpaksa memanjat semula ke atas beberapa kali dengan si ibu menunggu di puncak, anak beruang itu tidak menyerah kalah. Pada satu ketika, anak beruang itu terjatuh tergelincir agak jauh. Tetapi, haiwan itu menunjukkan semangat dan ketabahannya sebenar apabila terus memanjat untuk bersama ibunya yang sedang menunggu di puncak. Akhirnya, anak beruang itu berjaya sampai ke puncak dan dapat bersama ibunya yang mana netizen berkata haiwan itu telah memberikan satu pengajaran kepada mereka. Video itu telah dikongsi beratus ribu kali dalam talian, begitu juga di Twitter. Ramai yang sedar bahawa untuk berjaya anda tidak seharusnya berputus asa dan terus berusaha mencari jalan. "Saya suka video beruang itu. Jika pada mulanya anda tidak berjaya, teruskanlah berusaha." Seorang lagi berkata: "Kita semua boleh ambil pengajaran daripada anak beruang ini. Lihat ke hadapan dan jangan putus asa." "Ini menghilangkan tekanan saya. Anak beruang itu sangat comel dan bekerja keras, saya gembira dia berjaya," menurut satu tweet. Video ini pada asalnya dimuat naik oleh ahli Persatuan Geografi Diraja Canada, menurut Daily Mail.