suria

Alibaba catat rekod baharu, raih RM128 bilion dalam jualan 11.11

Pengasas bersama Alibaba Group, Jack Ma ketika dirakam berada di festival jualan Satu Hari pada Ahad. - Foto Reuters

ALIBABA Group (Alibaba) mencatatkan rekod baharu untuk acara 'Satu Hari', dengan jualan 213.5 bilion renminbi (RM128 bilion) dalam masa 24 jam acara beli-belah itu berlangsung pada Ahad.  

Nilai barangan kasar (gross merchandise value) (GMV) iaitu angka yang menunjukkan jualan di seluruh platform beli belah gergasi e-dagang China itu, melepasi jualan 168.2 bilion renminbi (RM101 bilion) tahun lepas, yang dicatatkan pada hari berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Zhang, berkata ini menunjukkan pertumbuhan 27 peratus berbanding 2017.

"Pembabitan keseluruhan ekosistem Alibaba membolehkan jenama kami dan rakan perniagaan berhubung dengan pelanggan seperti yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

Untuk masa hadapan, Alibaba akan terus menerajui evolusi ke arah ekonomi digital dan gaya hidup,” katanya pada sidang media, di Shanghai yang diadakan sempena acara beli belah dalam talian itu yang juga dikenali sebagai gala beli belah 11 berganda (11.11).   

Katanya, kumpulan berkenaan juga akan terus berinovasi menurut kehendak gaya hidup masyarakat yang akan berubah selaras pembangunan teknologi dan model baharu perniagaan.

Skrin di pentas menunjukkan nilai transaksi Alibaba sepanjang jualan Satu Hari pada 11 November. - Reuters

Zhang percaya, dalam masa 5 dan 10 tahun akan datang, (acara) tahunan 11.11 akan berlainan dan Alibaba akan terus berinovasi untuk melaksanakan perubahan yang dibawa oleh teknologi baharu,” tambahnya.

Acara beli belah 24 jam dalam talian yang juga dikenali sebagai Singles' Day (Satu Hari) itu merekodkan 69.3 bilion renminbi (RM41.7 bilion) GMV melalui Alipay hanya dalam masa satu jam dan 48 minit.  

Acara itu turut mencatatkan rekod baharu kerana 6.9 bilion renminbi (RM4.1 bilion) keseluruhan GMV dilunaskan melalui Alipay pada satu minit dan 25 saat pertama selepas dimulakan pada jam 12 tengah malam 11 November juga memecah satu lagi rekod kerana mencatatkan 150 bilion renminbi (RM90 bilion) daripada keseluruhan GMV dalam masa 12 jam 8 minit dan 40 saat berbanding tahun lepas (21 jam, 12 minit, 35 saat).

Pada festival 2018 itu, lebih 40 peratus pelanggan membuat pembelian jenama antarabangsa dan  237 jenama yang melepasti 100 juta renminbi GMV, termasuk jenama seperti Apple, Dyson, Kindle, Estee Lauder, L'Oreal, Nestle, Gap, Nike dan Adidas.

Lazada menyertai 11.11 sebagai sebahagian ekosistem Alibaba, membawakan festival itu kepada pelanggan di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Lebih 180,000 jenama dari China dan seluruh dunia menyertai acara beli belah itu. - Bernama

Alibaba