SEORANG bayi lelaki berusia 12 hari maut akibat kecederaan parah selepas dilarikan seekor monyet dari pangkuan ibunya di pinggir bandar Agra pada Isnin lalu. Wanita dikenali sebagai Neha sedang menyusukan bayinya itu yang diberi nama Arush ketika monyet tersebut masuk ke dalam rumah mereka. Bapa mangsa, Yogesh yang juga bekerja sebagai penarik beca memberitahu media bahawa mereka telah mengejar monyet tersebut. Monyet itu meninggalkan bayi tersebut dalam keadaan berlumuran darah di atas bumbung jiran mereka tetapi semuanya sudah terlambat. "Pintu utama rumah terbuka dan ketika itu isteri saya sedang menyusukan Arush. "Seekor monyet tiba-tiba masuk dan menerkam serta menggigit kepala anak saya sebelum membawanya lari. "Isteri saya tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu," kata Yogesh. Yogesh berkata Arush dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan telah meninggal dunia. Arush merupakan anak sulung pasangan tersebut yang sudah berkahwin selama dua tahun. Penduduk setempat turut melaporkan monyet yang sama cuba menyerang remaja perempuan berusia 14 tahun kira-kira 15 minit sebelum melarikan Arush. - Dailymail.co.uk