suria

Majikan kekasih tersilap pindah RM53,692, lelaki selamba guna untuk langsai hutang judi

Walton (kiri) telah diperintahkan untuk membayar balik wang yang digunakannya. - Bailey Walton

SEORANG bapa kepada dua anak yang melunaskan hutang judi dengan mengunakan 10,000 pound sterling (RM53,692) yang dimasukkan secara tidak sengaja ke akaun bank pasangannya, dipenjarakan dan diperintahkan untuk membayar wang itu kembali.

Pengawal keselamatan, Bailey Walton, 22, meraih durian runtuh apabila mendapati sejumlah wang dimasukkan ke akaun bank Lauren Wood yang dipegangnya.

Mahkamah Mahkota Minshull Street di Manchester mendengar kenyataan Walton yang menyangka ia adalah hadiah Krismas selepas wang tersebut dipindahkan ke akaun Wood secara tidak sengaja oleh majikan wanita itu, Joanne Harvey.

Harvey telah menambah satu angka '0' di belakang transaksi tersebut ketika ingin membayar gaji Wood yang bekerja di firma jagaan Bojo Care Services.

Mahkamah mendengar Walton, dari Salford, tidak memberitahu Wood tentang wang itu sebelum kesilapan itu disedari sebulan kemudian.

Hakim Bernard Lever berkata: "Majikan berkenaan membuat kesilapan dan dia mengambil kesempatan di atasnya.

"Dia mendapat bayaran bank dan fikir ia adalah hadiah Krismas.

"Dia tidak berniat untuk mencuri daripada majikan tersebut - salah majikan itu sendiri yang menyebabkan masalah ini berlaku."

Hakim memberitahu Walton: "Pasangan kamu bekerja untuk sebuah perusahaan kecil dan oleh itu terdedah kepada kerugian kewangan.

"Harvey berkata, dia dan syarikat itu telah mengalami masalah besar dan kesulitan kerana ketidakjujuran kamu.

"Kamu mempunyai masalah perjudian dan wang, tapi kamu sudah mengambil kesempatan daripada kesilapan yang dibuat," ujar hakim itu.

Walton dan Wood mempunyai dua anak - seorang berumur enam tahun dan seorang lagi bayi berusia lapan minggu yang perlu menjalani pembedahan.

Walton mengakui melakukan kesalahan mencuri dan diperintahkan membayar balik semua wang tersebut.

Dia juga dikenakan hukuman penjara selama 14 bulan dan perlu menyempurnakan kerja tanpa gaji selama 240 jam. - Daily Mail

judi

Artikel Lain