LONDON: Beberapa hospital di Britain mendedahkan mereka menerima kes remaja membakar diri, semata-mata mahu menjadi bintang di media sosial. Kes seumpama itu berlaku selepas ada remaja menyahut 'cabaran api'. Cabaran berkenaan memerlukan seseorang menyalakan api pada badan mereka dalam usaha meraih populariti dan mendapat banyak 'likes' di media sosial. Namun berita yang dipetik daripada laporan Sinar Harian ini menyebut, dalam kebanyakkan kes, cabaran itu berlaku diluar kawalan dan mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan termasuk pembedahan menyelamatkan nyawa. Kakitangan di Hospital Morriston, Swansea mengesahkan pihaknya menerima kes seumpama itu. Biarpun enggan mendedahkan jumlah mangsa yang terlibat, pihak berkuasa mengeluarkan amaran agar remaja tidak menyahut cabaran bangang tersebut. Pada Ogos lalu, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun menjadi mangsa terbaharu selepas menyahut cabaran itu. Timiyah Landers mengalami luka terbakar sebanyak 49 peratus pada tubuhnya. Cabaran api berasal dari Amerika Syarikat dan bermula pada 2012 selepas seorang Youtuber bernama 1BlazinEagle1, memuat naik video memaparkan api dinyalakan di atas dadanya. Video berkenaan mendapat sebanyak lebih 100,000 tontonan dan lebih memeranjatkan, ada remaja menyahut cabaran tersebut.