SEORANG wanita yang menderita ekzema selama 20 tahun akhirnya menemui jalan keluar dari penyakit itu. Camille Knowles, 27, dari Manchester didiagnos dengan penyakit itu sewaktu berusia enam tahun. Jurulatih kecergasan dan chef itu mengalami ekzema kronik dan ia menyerang hampir seluruh tubuhnya dari tangan, kaki, belakang badan dan wajah. Setelah bertahun mencuba pelbagai rawatan termasuklah pengambilan steroid, dia mula mengubah kaedah rawatan sewaktu berusia 22 tahun. Ujar Camille, dia berhenti mengambil alkohol dan hanya mengambil makanan berasaskan tumbuhan dan sentiasa mandi air garam pada waktu petang. Kejayaan kaedah itu hasil perubahan gaya hidup ternyata membawa tuah apabila Camille kini menerbitkan buku mengenainya. Tambah wanita itu, dia berjaya menghapuskan penyakit itu dengan mengubah diet, gaya hidup serta kaedah penjagaan wajah. "Kini, saya sedar, elakkan makan gluten, susu dan gula benar-benar membantu kulit saya. Saya hanya makan hidangan berasaskan tumbuhan dengan sedikit daging organik dan ikan. "Saya juga ikut kemahuan badan saya. Jika stress, saya elakkan kopi tapi minum teh atau air lemon. "Saya juga gembira mencuba serta mencipta resepi baharu yang sihat dan semulajadi," katanya. Tambah wanita itu lagi, dia juga mengamalkan minuman tapaian kombucha. "Saya tahu minum alkohol boleh membawa impak negatif terhadap kulit saya. "Salah satu minuman kegemaran saya ialah kombucha. Ia memberi rasa semulajadi," ujarnya. Malah, Camille turut memberitahu dia melakukan senaman seperti larian dan renangan sebagai gaya hidup sihat dalam memerangi penyakit itu. - Daily Mail.