RAKAMAN ngeri menunjukkan seorang pelumba quad dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda (4X4) dipandu remaja berusia 12 tahun semasa perlumbaan di kawasan gurun pasir di Qatar. Rempuhan kuat itu meragut nyawa seorang bapa berusia 42 tahun. Rakaman tersebut dipercayai diambil pada Jumaat lalu di Al Adaid yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan kereta dari Doha, Qatar. Sumber kerajaan Qatar memberitahu The Sun Online bahawa pemandu kenderaan terbabit dipercayai berusia antara 12 dan 14 tahun. Pelumba quad berusia 42 maut di tempat kejadian. Remaja terbabit kemudiannya ditahan kerana memandu tanpa lesen. Bapanya turut ditahan kerana membenarkan anaknya memandu sehingga menggorbankan nyawa orang lain. Seorang saksi warga Britain yang enggan dinamakan menyifatkan acara perlumbaan itu sebagai 'tidak terkawal' dan kelihatan 'seperti di zon perang'. Saksi itu turut memberitahu beratus-ratus kenderaan dan peminat perlumbaan sukan ekstrem itu berkumpul di gurun pasir yang terletak di wilayah al Wakra pada hujung minggu semasa musim sejuk. Beratus-ratus kenderaan memenuhi kawasan gurun untuk menyaksikan perlumbaan tanpa nama itu. Dia menjelaskan kedua-dua pelumba quad itu tidak mengikuti 'etika yang tidak dinyatakan' dalam acara yang dianggap gila itu. "Walaupun semua peraturan dibuat secara lisan - tidak ada yang ditulis, ia adalah satu kaedah yang tidak masuk," katanya. Saksi itu berkata perlumbaan bermula setiap malam Khamis yang menandakan permulaan cuti hujung minggu di Qatar. "Acara perlumbaan itu tiada nama. Ia amat popular sehingga semua kem di kawasan gurun itu dipenuhi pengunjung," katanya. - thesun.co.uk