suria

Jurufoto hilang mungkin ditahan kerajaan China gara-gara rakam gambar sensitif

Lu Guang merupakan wartawan dan jurufoto. FOTO: Bored Panda

MISTERI kehilangan seorang jurufoto bertambah rumit apabila ada pihak yang mendakwa dia sebenarnya ditahan oleh kerajaan negara China.

Lu Guang yang juga seorang wartawan membuat pendedahan mengenai isu HIV, penagihan dadah dan masalah persekitaran menerusi fotografi.

Dia dikatakn ditahan pihak berkuasa di negara itu yang kurang senang dengan pendedahan yang dilakukannya.

Menurut isterinya, Xu Xialoi, dia tidak mendengar apa-apa khabar berita dari suaminya sejak 3 November lalu.

Pada 23 Oktober, Lu Guang terbang ke Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang untuk bertemu rakannya.

Namun, rakannya juga tidak sempat bertemu dengan Lu Guang sebelum dia merujuk kepada isteri lelaki itu untuk bertanya mengenai keberadaannya.

"Sebagai ahli keluarganya, saya tidak menerima sebatang berita atau notis penahanannya. Saya juga menghubungi polis Xinjiang tetapi tidak berjaya.

"Ulang tahun perkahwinan kami yang ke-20 akan tiba pada minggu depan, saya harap dapat bertemu dengannya," ujar isterinya.

Menurut laporan BBC, pihak kerajaan khususnya di Xinjiang mengambil pendekatan tegas sekiranya berhadapan dengan sebarang pendedahan mahupun kritikan.

Malah, mereka juga pernah menahan wartawan yang membuat liputan mengenai etnik Uighur kerana menyifatkan ia sensitif buat mereka.

"Realitinya, anda tak tahu jika anda sedang berada dalam masalah sebab di sini tiada undang-undang bertulis," ujar jurufoto itu pada tahun lalu.

Berikut merupakan beberapa gambar hasil tangan Lu Guang yang dikatakan menimbulkan rasa kurang senang kerajaan negara itu. - Bored Panda.

Artikel Lain