ALANGKAH hebatnya jika kita mempunyai kuasa untuk membaca minda orang lain. Begitulah angan-angan segelintir individu yang pernah terfikir mengenai kemampuan itu gara-gara terpengaruh dengan filem dan rancangan televisyen. Namun, aktiviti membaca minda mungkin tidak lagi mustahil dan bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Terbaharu, sekumpulan saintis sudah berjaya melakukan bacaan minda untuk meramal perbuatan, namun ia bukanlah ke atas manusia sebaliknya dilakukan ke atas tikus sahaja. Menerusi laporan yang diterbitkan menerusi Neuron Journal, penulis bersama kajian itu, Jozsef Csicsvari berkata, mereka sudah berjaya menhasilkan peta minda tikus berkenaan. Ujarnya, mereka membuat pemerhatian hippocampus untuk menentukan fikiran dan tindakan tikus. Kajian itu membolehkan mereka membuat padanan antara aktiviti neural dan tindakan tikus, sekaligus membolehkan saintis membuat ramalan apa yang bakal dilakukan oleh tikus tersebut. Tikus juga diletakkan di atas laluan sama berulang kali agar saintis boleh membina gambaran minda mereka. "Ia seperti peta minda, ianya diaktifkan bergantung kepada lokasi tikus itu diletakkan. "Namun kadang-kadang aktiviti neuron tikus itu tidak sepadan pun dengan lokasi tikus itu. "Tapi ia sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai bagaimana tikus itu berfikir," ujar Csicsvari kepada ScienceDaily. - DailyStar.