suria

Selepas terkenal dua tahun lalu, kini si cilik Murtaza 'Messi' hidup dalam ketakutan akibat diancam Taliban

DUA tahun lalu, Murtaza Ahmadi apabila gelagatnya memakai 'jersi' yang dibuat daripada beg plastik biru dan putih dengan tertera nama Messi serta nombor 10 mendapat perhatian dunia.

Pada 2016 juga, budak lelaki itu berpeluag bertemu idolanya, Lionel Messi di Qatar. Ketika itu, Messi yang juga Duta Unicef bersama Barcelona terlibat dalam perlawanan persahabatan.

Murtaza bukan sahaja dapat berjalan berpegang tangan dengan Messi, malahan dia juga menerima jersi yang ditandatangi pemain bola sepak itu serta sebiji bola.

Bagaimanapun, momen itu hanya tinggal kenangan kerana jersi dan bola yang diterima tiada lagi bersama Murtaza.

Semuanya kerana dia dan ibunya, Shafiqa terpaksa meninggalkan kampung halaman di Joghori bagi menyelamatkan diri akibat pertelingkahan yang masih berlarutan. Kini mereka berada di Kabul, kecuali bapanya masih bertani di Joghori.

"Kami hanya sempat menyelamatkan diri, terpaksa meninggalkan apa yang kami ada," kata Shafiqa.

Lebih menakutkan apabila nyawa Murtaza kini dalam bahaya apabila dia didakwa menjadi sasaran puak Taliban.

"Jika mereka menangkapnya, tentu badannya akan dipotong," demikian kata ibu budak berusia tujuh tahun itu.

Selepas bertemu Messi, kata Shafiqa ada pihak yang mengugut mereka kerana dianggap telah kaya kerana menerima sejumlah wang daripada pemain bola sepak itu.

"Sekarang kamu sudah kaya, serahkan wang yang diberi Messi atau kami akan ambil anak kamu," demikian kata-kata kumpulan pemberontak itu kepada mereka sekeluarga.

Malahan, di mana mereka berada tentu ada yang akan memerhati hingga menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan.

Walaupun berada di Kabul dan antara lebih 300,000 Afghanistan yang meninggalkan kediaman untuk mendapatkan perlindungan, keluarga Murtaza masih bimbang keselamatannya terancam.

Ketika ditemui AFP, Murtaza mengakui rindukan bola dan jersi pemberian Messi.

"Saya mahu dapatkan semula barang yang diberi Messi.

"Saya rindukan Messi. Jika dapat bertemunya lagi, saya akan beri salam dan bertanyakan khabar. Kemudian tentunya dia akan menjawab terima kasih dan kemudiannya saya akan bersamanya ke padang sebelum melihat dia bermain," kata Murtaza penuh pengharapan.-Dailymail

Murtaza, Messi, Taliban

Artikel Lain