suria

Adrienne diberi amaran, pilih polis atau model Instagram

DRESDEN: Jolokan polis tercantik Jerman membawa padah apabila wanita ini diberi amaran kerana terlalu kerap muncul di laman media sosial, Instagram.

Pihak pengurusan polis memberi kata dua kepada anggota polis wanita ini sama ada mahu terus menjadi penjawat awam atau berhenti mengejar populariti sebagai model di Instagram.

Adrienne Koleszar, yang bertugas di bandar ini mempunyai 557,000 pengikut di Instagram yang sering memuji bentuk badannya.

Pengikut di laman sosial wanita berusia 34 tahun itu juga yang memberi gelaran polis tercantik Jerman dua tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail.

Awal tahun ini, permohonan cuti enam bulan tanpa gaji Koleszar diluluskan dan dia menghabiskan masa bercuti di seluruh dunia bagi mengejar impiannya untuk menjadi bintang Instagram.

Bagaimanapun, dalam pertemuan bersama pegawai atasannya minggu lalu, wanita itu diberi pilihan sama ada kembali bekerja bermula 1 Januari ini atau berhenti kerana negeri Saxony memerlukan sehingga 1,000 anggota polis sepenuh masa, lapor media Jerman.

Memetik laporan akhbar Bild, Koleszar memberitahu dia ingin berjaya dalam kedua-dua bidang kerjaya itu tetapi sedar bukan semua yang diimpikan dapat dicapai.

Adrienne diberi tempoh sehingga hari ini untuk membuat keputusan.-Dailymail.co.uk

Instagram, Addrienne, polis, Jerman

Artikel Lain