SEORANG lelaki nyaris maut apabila rokok elektroniknya atau vape meletup di dalam poket seluarnya. Oscar Khan mengalami lecur di kaki kanannya selepas seluarnya terbakar. Mangsa yang berusia 46 tahun itu cuba memadamkan kebakaran sebelum isterinya bergegas membawanya ke bilik mandi dan mencurahkan air sejuk padanya. Oscar yang berasal dari Belgrave, Leicester di United Kingdom itu berkongsi gambar-gambar kecederaan yang dialaminya, susulan insiden yang berlaku pada Ahad lalu. Dia mungkin perlu menjalani rawatan kulit bagi memperbaiki kecederaan akibat melecur. Bercakap kepada Leicestershire Live, Oscar berkata: "Ia dahsyat. Saya berada di rumah ketika itu dan secara tiba-tiba saya terdengar satu bunyi yang tak pernah saya dengar sebelum ini. "Saya tengok ke bawah dan kaki saya terbakar. Saya cuba memadamkan kebakaran menggunakan tangan tetapi isteri kemudian bergegas membawa saya ke bilik mandi dan mencurahkan air ke kaki saya. "Vape diletakkan di dalam pokok seluar. Saya tidak menggunakannya ketika itu. Oscar mungkin perlu menjalani rawatan kulit akibat insiden yang dialaminya. Foto Will Johnston "Saya fikir jika ia berlaku semasa di luar rumah, keadaan mungkin menjadi lebih buruk. "Saya juga tak dapat bayangkan sekiranya ia berlaku semasa saya memegangnya atau meletakkannya pada mulut ketika itu. Selepas dikejarkan ke Hospital Diraja leicester untuk mendapatkan rawatan, dia mendapati seorang pesakit lain mengalami insiden yang sama. Persatuan Pencegahan Kemalangan Diraja memberikan nasihat berikut: "Pengecas yang tidak berkualiti atau yang palsu boleh menyebabkan rokok elektronik sebagai punca kebakaran di rumah. "Hanya beli e-rokok daripada kedai yang berlesen, menggunakan pengecas yang betul untuk peranti itu, ikut arahan pengilang dan jangan mengecasnya tanpa pengawasan atau semalaman. "Sebagaimana peranti elektrik lain seperti telefon bimbit dan komputer riba, e-rokok tidak boleh dicaj atau digunakan sekiranya sudah rosak - sel bateri yang rosak boleh menimbulkan risiko kimia dan kebakaran." - Mirror Online