SEEKOR gajah berusia 70 tahun yang dibebaskan selepas setengah abad diperlakukan seperti hamba meraikan sambutan satu tahun 'persaraannya' baru-baru ini. Kini, haiwan itu melalui satu lagi peristiwa bermakna iaitu menjadi 'pesakit' pertama di hospital gajah yang juga pertama dibuka di India. Gajah yang dinamakan Gajraj itu diambil secara haram pada 1965 dan dirantai selama 50 tahun di lokasi tumpuan pelancong seperti Muzium Shri Bhavani dan Kuil Yamai Devi di Aundh, Satara. Para pelancong dibenarkan menunggang Gajraj sebagai salah satu tarikan pelancongan. Gajraj diseksa dan menjalani latihan teruk sehingga kesan luka dapat dilihat dengan jelas di bahagian kakinya. Gajraj meraikan ulang tahun pertama pembebasannya. - Wildlife SOS Menurut siasatan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen bebaskan Gajraj, laporan menunjukkan gading gajah malang itu dipotong, tidak diberikan makanan yang berkhasiat dan mengalami dehidrasi. Gajraj juga tidak pernah dibawa untuk mendapatkan rawatan daripada doktor haiwan. Selama ini, keempat-empat kaki gajah itu dirantai dan dipaksa bekerja sepanjang tempoh tersebut. Selepas ratusan surat, panggilan, emel, tandatangan dan protes dibuat, Gajraj akhirnya diselamatkan dan dihantar ke pusat jagaan haiwan liar SOS'. Di sana, Gajraj dijaga rapi dan menjalani rawatan kaki yang berterusan, termasuk diberikan diet yang sihat serta makanan tambahan yang bersesuaian. - Lad Bible