SEORANG pemilik restoran sushi sanggup membayar sebanyak 3.1 juta dollar Amerika (RM12.75 juta) untuk seekor ikan tuna sirip biru seberat 278 kilogram (kg). Belia itu dilakukan pada lelongan yang dianjurkan di Jepun pada Sabtu. Rekod harga tersebut mencerminkan kekurangan ikan berharga tersebut yang semakin meningkat. Kiyomura Corp memenangi lelongan dianggarkan bernilai lebih daripada RM45,000 sekilogram. Syarikat berkenaan mengendalikan rangkaian restoran Sushizanmai di Jepun. Memetik laporan UPI, Ia adalah lelongan pertama yang diadakan di pasar ikan Toyosu di Tokyo. Syarikat itu membayar 10 kali ganda lebih mahal daripada harga ikan lebih kecil yang dibeli pada lelongan yang diadakan tahun lepas. Ia adalah harga tertinggi yang pernah dibayar untuk seekor tuna sirip biru pada acara lelongan. Pemilik rantaian restoran, Kiyoshi Kimura berkata beliau tidak menjangka harga akan naik begitu tinggi. Kiyoshi Kimura bergambar di hadapan ikan tuna sirip biru yang baru dibelinya. - Reuters "Ikan tuna itu kelihatan sangat enak dan segar, tetapi saya akui saya membayarnya sedikit mahal," katanya. Nelayan Ryoichi Fujieda, 64, menangkap ikan itu di Oma, wilayah Aomori. Dia terkejut dengan harga jualan tersebut. "Seorang peraih ikan tempatan menghubungi saya untuk memberitahu tentang lelongan itu. "Jumlah tersebut terlalu tinggi dan saya sangka mungkin saya salah dengar," katanya. Rekod harga lelongan bagi ikan yang sama sebelum ini adalah RM5.88 juta untuk 221kg, iaitu hampir RM27,000 sekilogram.